Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin diperluas kepada semua usahawan B40 | DagangNews Skip to main content

Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin diperluas kepada semua usahawan B40

Alexander Nanta Linggi

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) ditambah baik dengan memperluaskan manfaat kepada semua usahawan dalam kumpulan B40. 

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan itu dibuat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

 

"KPDNHEP dan agensi dibawahnya sentiasa menekankan peri pentingnya “ease of doing business’ dan ‘lowering the cost of doing business’ di mana SPPP adalah salah satu manifestasi kepada kedua-dua falsafah tersebut.

 

"Pendaftaran perniagaan sekarang diberi percuma (pengecualian fi pendaftaran) kepada golongan sasar B40 yang ingin memulakan perniagaan dan yang belum pernah mendaftarkan perniagaan mereka.

 

"Ini akan membolehkan mereka memperolehi akses kepada pelbagai dana dan pinjaman yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi kelangsungan operasi perniagaan mereka dalam suasana sukar dan mencabar berikutan penularan pendemik COVID-19," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

SPPP yang dilancarkan pada 23 Disember 2020 itu kini merangkumi semua bakal usahawan golongan B40.

 

Ia tidak lagi terhad kepada usahawan dalam kalangan belia dan ibu tunggal B40 serta pelajar sahaja. 

 

Sejak SPPP diperkenalkan, SSM telah meluluskan 1,066 permohonan daripada golongan pelajar, 830 permohonan daripada golongan belia B40 dan 73 permohonan daripada golongan ibu tunggal B40, menjadikan seramai 1,969 usahawan yang telah mendapat manfaat.

 

Tambah beliau, perluasan golongan sasaran SPPP ini dijangka akan membuka peluang kepada seramai 180,000 individu untuk menceburi bidang perniagaan. 

 

Pemohon yang layak akan mendapat manfaat pengecualian fi seperti berikut:

.

 

"Pada tahun 2021, SSM mensasarkan seramai 30,000 usahawan akan merebut tawaran ini," ujar beliau lagi.  - DagangNews.com