Skim Saraan Bercagar Cagamas dibuka untuk permohonan pada 17 Januari 2022 | DagangNews Skip to main content

Skim Saraan Bercagar Cagamas dibuka untuk permohonan pada 17 Januari 2022

KUALA LUMPUR 22 Dis - Skim Saraan Bercagar (SSB) Cagamas Bhd akan dibuka untuk permohonan daripada pemilik rumah yang layak di Lembah Klang pada 17 Januari 2022.

 

Dilancarkan oleh Cagamas baru-baru ini, SSB ialah skim gadai janji berbalik yang bertujuan membantu warga emas membiayai persaraan mereka.

 

Perbadanan gadai janji nasional itu berkata orang ramai kini boleh mendapatkan maklumat terperinci mengenai ciri, kriteria kelayakan dan proses permohonan daripada laman web SSB di www.ssb.cagamas.com.my.

 

"Untuk memudahkan pemahaman dan pengetahuan tentang skim ini, bahagian soalan lazim (FAQ) disertakan di laman web," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Cagamas, bagi pelancaran perintis di Lembah Klang, pemilik rumah bersara berumur 55 tahun dan ke atas boleh membuat pertanyaan dan mengemukakan permohonan mereka mulai Isnin, 17 Januari 2022 dan seterusnya di cawangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terpilih, yang akan disenaraikan di laman web SSB awal tahun hadapan.

 

SSB dijangka boleh didapati di seluruh negara menjelang pertengahan 2022, katanya sambil menambah kepada yang berminat boleh mengajukan pertanyaan ke
emel [email protected].

 

Pada 14 Disember lalu, Cagamas memperkenalkan produk pembiayaan bagi pesara yang pertama seumpamanya di pasaran, Skim Saraan Bercagar (SSB) untuk membantu membiayai persaraan warga emas dengan dana RM100 juta.

 

ARTIKEL BERKAITAN : Cagamas lancar Skim Saraan Bercagar bantu warga emas dengan dana RM100 juta

 

SSB membolehkan pesara berusia 55 tahun dan ke atas, untuk mencagarkan rumah kediaman mereka bagi mendapat pendapatan bulanan secara tetap sepanjang hayat bagi membantu pembiayaan persaraan mereka.

 

Skim tersebut adalah sebahagian daripada usaha luas kerajaan untuk menyediakan pelan persaraan teguh yang membolehkan warga emas terus menjalani kehidupan yang produktif. 

 

Skim itu juga dikenali sebagai gadai janji berbalik, juga terdapat di Korea, Hong Kong, Jepun, Australia, Kanada dan Amerika Syarikat. - DagangNews.com