SKM, Gerakan Koperasi kumpul dana RM200,000 bantu mangsa banjir | DagangNews Skip to main content

SKM, Gerakan Koperasi kumpul dana RM200,000 bantu mangsa banjir

        

KUALA LUMPUR 31 Dis – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM200,000 bersama Gerakan Koperasi Malaysia bagi membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

 

Dana tersebut digunakan bagi membiayai bantuan dalam bentuk barangan keperluan asas, makanan, pakaian, wang tunai serta peralatan pembersihan untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di Shah Alam, Klang, Hulu Langat dan Tanjung Karang.

 

Seramai 24 anggota sukarelawan terdiri daripada kakitangan Suruhanjaya Koperasi Malaysia serta 10 buah koperasi telah turut terlibat mengedarkan bantuan serta kerja-kerja pembersihan. 

 

Antara Koperasi-koperasi yang terlibat adalah Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (Koputra), Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) serta Koperasi Kakitangan Bank Simpanan Nasional Berhad (Kobanas).

 

Pengerusi Koputra, Zaharuddin Alias merangkap Pengerusi Program yang mengetuai misi pasca banjir di daerah Temerloh dan Mentakab, inisiatif mengadakan program ini adalah bersesuaian dengan prinsip ketujuh gerakan koperasi iaitu prihatin terhadap masyarakat di mana koperasi sentiasa prihatin dan responsif terhadap apa yang berlaku dalam masyarakat sekeliling.


 

skm

 

skm

 


Misi Pasca banjir yang digerakkan ini terbahagi kepada dua fasa iaitu Fasa Pertama menyalurkan sumbangan bantuan makanan kepada mangsa banjir manakala Fasa Kedua iaitu membantu kerja-kerja pembersihan rumah anggota-anggota koperasi yang terjejas akibat banjir di Kawasan Mentakab dan Temerloh.

 

Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Bantuan Banjir Suruhanjaya Koperasi Malaysia Bersama Gerakan Koperasi Malaysia akan diteruskan ke tiga lagi lokasi iaitu daerah Hulu Langat, Kuala Selangor serta Lanchang di Pahang pada 1 Januari 2022. – DagangNews.com