SKMM perjelas peranan sebenar SPV bagi 5G | DagangNews Skip to main content

SKMM perjelas peranan sebenar SPV bagi 5G

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Penubuhan Syarikat Bertujuan Khas Kerajaan Malaysia (GOMSPV) yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) adalah untuk memberi tumpuan kepada usaha pelaksanaan rangkaian 5G di negara ini.

 

SKMM berkata, usaha tersebut merupakan kunci agar pihak penyedia perkhidmatan sedia ada dapat meneruskan pelaksanaan gentian optik serta memperbaiki liputan dan kualiti 4G.

 

"Beban 5G tidak terletak pada pihak penyedia perkhidmatan dan pada masa sama, memastikan risiko jurang digital berada tahap minimum sepanjang pelaksanaan rangkaian 5G dengan penerusan pelaksanaan gentian optik dan rangkaian 4G.

 

"Selain itu, akan ada pembabitan sektor swasta yang akan diperjelaskan dengan lebih menyeluruh oleh GOMSPV tidak lama lagi," jelas SKMM dalam satu kenyataan.

 

Tambah SKMM, spektrum yang disediakan kepada GOMSPV akan membina rangkaian dan menawarkan kapasiti secara borong. 

 

Model bukan bidaan yang diterima pakai merupakan sebahagian daripada usaha untuk tidak meletakkan beban kos kepada rangkaian baharu, selain memastikan bahawa elemen rangkaian sedia ada akan digunakan dan GOMSPV hanya akan membuat elemen rangkaian yang baharu.

 

GOMSPV akan menawarkan perkhidmatan borong secara telus dan dikawal selia. 

 

Penyedia perkhidmatan yang menawarkan perkhidmatan runcit akan mempunyai akses yang terbuka, saksama dan setara kepada rangkaian baharu.

 

Ujar SKMM lagi, ia merupakan petunjuk kukuh ke arah pengurangan persaingan berasaskan infrastruktur dan mempertingkatkan persaingan berasaskan perkhidmatan.

 

"Ini bukan sahaja akan memanfaatkan pengguna tetapi juga mengurangkan aliran keluaran asing terutamanya untuk peralatan baharu jika terdapat pelbagai pemain yang membina rangkaian.

 

"Penyedia perkhidmatan runcit boleh melabur dalam perkhidmatan yang lebih inovatif, yang akan membantu mereka menjana pendapatan yang lebih baik, sementara pengguna dapat menggunakan perkhidmatan baharu untuk menjana lebih banyak ekonomi yang berkaitan dengan digital," jelas SKMM. - DagangNews.com