SKMM semak semula jemputan penyertaan Jendela Fasa 1 | DagangNews Skip to main content

SKMM semak semula jemputan penyertaan Jendela Fasa 1

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan jemputan penyertaan yang disemak semula berhubung pemasangan kemudahan rangkaian dan penyebaran perkhidmatan rangkaian. 

 

Jemputan itu menggalakkan penyertaan pemegang lesen yang berminat dan layak di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998 untuk penyediaan Perkhidmatan Selular Awam di Sasaran Perkhidmatan Sejagat di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 1. 

 

Menurut SKMM, jemputan itu menggantikan jemputan asal yang dikeluarkan pada 20 November 2020. 

 

“Jemputan yang disemak semula merangkumi skop kerja yang terbahagi kepada dua bahagian. 

 

“Bahagian 1 meliputi pemasangan infrastruktur pasif, sementara Bahagian 2 meliputi pemasangan infrastruktur aktif dan penggunaan perkhidmatan selular awam. 

 

“Pemegang lesen yang berminat boleh memilih untuk turut serta dalam Bahagian 1 atau Bahagian 2,” jelas SKMM dalam sebuah kenyataan. 

 

Tambah suruhanjaya itu, skop kerja dan kriteria kelayakan yang disemak semula bertujuan mempercepat pelaksanaannya.

 

Ini memandangkan SKMM akan membenarkan sejumlah besar pemegang lesen untuk menyertai dalam langkah itu yang meliputi 1,661 lokasi di 106 kelompok di seluruh negara.

 

Tarikh tutup Pendaftaran Kepentingan adalah pada 2 Februari 2021 dan penyerahan Draf Pelan Perkhidmatan Sejagat oleh pemegang lesen yang berminat dan layak adalah pada 31 Mac 2021. - DagangNews.com