Skor ESG Ranhill melebihi purata pada 56 mata disokong kemantapan inisiatif kelestarian – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Skor ESG Ranhill melebihi purata pada 56 mata disokong kemantapan inisiatif kelestarian – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Jan - Skor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) keseluruhan Ranhill Utilities Bhd adalah 56 mata daripada 100, melebihi purata 50 mata di bawah metodologi pemarkahan ESG proprietari Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu berkata Ranhill mempunyai rangka kerja yang mantap, dasar dalaman dan sasaran jangka pertengahan dan panjang yang nyata untuk ESG.

 

Menurut firma itu, sasaran ESG Ranhill adalah agak asas, iaitu sifar bersih menjelang 2050, dengan kumpulan berkenaan dalam proses membangunkan garis dasar dan hala tuju gas rumah hijau (GHG) untuk operasinya.

 

Maybank IB menambah bahawa sasaran operasi berkaitan pengurangan NRW (air bukan pendapatan) bagi anak syarikatnya, Ranhill SAJ Sdn Bhd (RSAJ) sememangnya berkaitan dengan kelestarian.

 

“Ranhill turut menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE) (ladang solar 50MW kumpulan disasarkan siap menjelang akhir 2023), dan berhasrat untuk menggunakan tenaga solar bagi menjalankan operasi rawatan airnya,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata pendedahan ESG Ranhill patut dipuji dan meliputi pelepasan Skop 3, yang berkaitan dengan pembelian barangan dan perkhidmatan, serta perjalanan ulang-alik pekerja.

 

Sementara itu, Skop 2 pelepasan karbon kumpulan adalah lebih tinggi pada tahun kewangan 2022 (FY22) disebabkan lebih banyak tenaga elektrik digunakan untuk rawatan air.

 

Bagi metrik tadbir urus, Maybank IB mendapati bahawa gaji Ketua Pegawai Eksekutif dan lembaga pengarah mewakili peratusan keuntungan bersih yang agak tinggi, walaupun ini adalah akibat keuntungan bersih yang tertekan disebabkan oleh kekangan peraturan, pada pandangan firma itu.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran keuntungan bersih Ranhill dan saranan ‘jual’ dengan harga sasaran (TP) 70 sen sesaham.

 

“Penilaian semasa adalah mewah dan kami percaya kemungkinan tawaran umum dalam tempoh terdekat adalah rendah (dan sudah pun diambil kira).

 

“Kenaikan tarif air mungkin berlaku namun dijangka berserta pembayaran pajakan lebih tinggi kepada Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB), pada pandangan kami,” tambahnya.

 

Pada pukul 12:08 tengah hari ini, saham Ranhill naik 1 sen atau 1.1% kepada 91 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM1.18 bilion.  - DagangNews.com