SKS Airways berdepan masalah pembiayaan pajakan pesawat, Dzuleira lepaskan jawatan CEO | DagangNews Skip to main content

SKS Airways berdepan masalah pembiayaan pajakan pesawat, Dzuleira lepaskan jawatan CEO

KUALA LUMPUR 20 Nov - Selepas MYAirline menggantung operasi pada Oktober lalu, kini SKS Airways Sdn. Bhd. sedang bergelut mendapatkan pembiayaan bagi membayar penghantaran 10 pesawat Embraer E195-E2 dan dipercayai sudah menghentikan operasi penerbangan ke Pulau Tioman dan Pulau Redang.

 

Keadaan bertambah buruk apabila Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu dilantik, Dzuleira Abu Bakar dipercayai sudah melepaskan jawatannya pada minggu lalu.

 

Difahamkan, penghantaran pesawat E195-E2 pertama syarikat penerbangan itu telah ditangguhkan ke suku kedua 2024 berbanding Januari 2024.

 

BERITA TERBAHARU: SKS Airways sahkan Dzuleira lepaskan jawatan CEO, nafi syarikat bermasalah

 

SKS Airways dijadualkan menjadi pelanggan pelancaran pertama Embraer S.A. di Malaysia, walaupun mereka bukan satu-satunya syarikat penerbangan di Asia Tenggara yang akan mengendalikan pesawat itu.

 

"Sekiranya SKS Airways gagal mendapatkan pembiayaan, kemungkinan besar perjanjian itu boleh dibatalkan. Mereka sedang berdepan masalah tetapi sedang berusaha mencari pembiayaan baharu," kata sumber dalaman kepada Business Times, hari ini.

 

sks
Dzuleira Abu Bakar dipercayai sudah melepaskan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif SKS Airways pada minggu lalu.

 

SKS Airways mengumumkan perjanjian RM3.9 bilion pada Mei 2023 bagi pajakan 10 pesawat E195-E2 daripada pemberi pajak pesawat A.S., Azorra Aviation Holdings.

 

Syarikat penerbangan itu dijangka memulakan operasi mulai Mac 2024 ke negara jiran di luar Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS) walaupun ia telah merancang untuk menerima pesawat pertamanya pada Januari 2024.

 

Sumber dalaman sektor penerbangan memberitahu bahawa masa depan syarikat itu kelihatan sukar kerana sehingga kini masih belum mengumumkan sebarang destinasi baharu.

 

"Disember semakin hampir tetapi mereka belum mengumumkan destinasi baharu mereka.

 

"Slot lapangan terbang serantau di Lapangan Terbang Changi, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang dan Lapangan Terbang Suvarnabhumi penuh dan sukar untuk syarikat baharu mendapatkannya," kata sumber itu.

 

Sumber itu menambah bahawa Lapangan Terbang Seletar adalah yang paling ideal untuk SKS Airways dan semakan mendapati syarikat itu juga tidak memuat naik sebarang kandungan baharu di Facebook dan Instagramnya sejak 29 September 2023.

 

Difahamkan juga bahawa SKS Airways telah menghentikan operasi kedua-dua DHC 6-300 Twin Otter ke Redang dan Tioman sejak bulan lepas.

 

Tidak jelas sama ada pemberhentian operasi adalah sementara atau kekal.

 

Sumber berkata, syarikat penerbangan itu menggantung operasi ke dua pulau itu berikutan musim tengkujuh yang biasanya bermula dari Oktober hingga Mac.

 

Bagaimanapun, SKS Airways telah meneruskan penerbangan ke Tioman dan Redang pada November, Disember, Januari dan Februari tahun lepas.

 

"Penerbangan berjalan setiap bulan sejak pelancaran (bermula Januari 2022) sehingga bulan lepas apabila ia digantung," kata sumber, sambil menambah bahawa operasi Twin Otter syarikat penerbangan itu tidak menguntungkan dan kemungkinan besar ia tidak akan disambung semula.

 

Semakan di laman web SKS Airways mendapati tiada penerbangan semasa ke Tioman dan Redang dari Lapangan Terbang Subang. - DagangNews.com