Smart Asia Chemical sasar kumpul RM37.4 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Smart Asia Chemical sasar kumpul RM37.4 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mei - Pengeluar cat dan salutan industri, Smart Asia Chemical Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 28 Mei 2024 menyasarkan untuk mengumpul RM37.4 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).

 

Sasaran itu adalah menerusi terbitan 93.5 juta saham baharu pada harga IPO 40 sen sesaham.

 

Berdasarkan modal saham kumpulan yang diperbesarkan sebanyak 369.8 juta saham dan harga IPO tersebut, ia akan memiliki modal pasaran sebanayak RM147.9 juta.

 

Smart Asia memperuntukkan 42.78% daripada hasil keseluruhan bagi membiayai sebahagian pembinaan Kilang Perak manakala 29.41% bagi membiayai sebahagian pembelian dan pentauliahan sistem pengeluaran cat automatik di Kilang Perak dan sejumlah 13.37% untuk pembelian 250 set mesin mewarna.

 

Baki hasil akan digunakan untuk modal kerja dan penyenaraian perbelanjaan berkaitan dengan Kilang Perak dijadual mengadakan pembukaan pada 9 Mei 2024.

 

Apabila dimulakan, kapasiti pengeluaran Smart Asia dijangka meningkat sebanyak tiga kali ganda daripada pembuatan tahunan semasa.

 

Kumpulan itu memberi fokus kepada pembangunan, pembuatan, pengedaran dan penjualan pelbagai jenis cat hiasan serta salutan pelindung bagi kegunaan rumah dan industri serta produk berkaitan.

 

Buat masa sekarang, kumpulan itu mempunyai Sembilan pemborong dan 937 pengedar di Malaysia, bersama 14 pengedar sah di pasaran luar negara termasuk Singapura, Brunei, Indonesia, Kemboja, Vietnam dan Myanmar.

 

Pengarah Urusan Smart Asia, Goh Chye Hin berkata, kumpulan itu menggunakan rangkaian pengedaran berbilang saluran termasuk pemborong, pengedar, pengedar sah dan pasukan jualan dan pemasaran kami sendiri.

 

"Strategi ini membolehkan kami mencapai pangkalan pelanggan yang luas, mencapai skala ekonomi dan meningkatkan bahagian pasaran kami." katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Mercury Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama IPO, penaja, penaja jamin, dan ejen penempatan tunggal. - DagangNews.com