Smart Home Cover dinaik taraf dengan perlindungan pembaikan rumah | DagangNews Skip to main content

Smart Home Cover dinaik taraf dengan perlindungan pembaikan rumah

Smart Home Cover

(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir, Pengasas Bersama Recommend.my, Jes Min Lua dan Ketua Pegawai Jualan Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz), Horst Habbig.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) kembali memperkenalkan semula insurans perlindungan rumah, Smart Home Cover yang dinaik taraf untuk komponen pembaikan rumah.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir berkata, Smart Home Cover yang dinaik taraf itu bukan sahaja menawarkan perlindungan kediaman daripada kerosakan, tetapi turut menawarkan perkhidmatan lain yang boleh memberi manfaat kepada pemilik kediaman.

"Sebuah rumah berdepan pelbagai risiko tidak kira besar atau kecil, daripada paip bocor hingga kebakaran, banjir dan kecurian yang memberi masalah kewangan.

"Premium yang anda bayar untuk insurans kediaman anda sangat kecil berbanding risiko yang anda ambil sekiranya tidak mempunyai perlindungan yang secukupnya untuk rumah anda," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Komponen pembaikan rumah yang dinaik taraf itu membolehkan pemegang polisi mendapatkan perkhidmatan melalui Allianz Partners seperti Recommend.my dan Kaodim.com bagi tujuan pembaikan kerja berkaitan penghawa dingin dan paip.

Pemegang polisi juga diberi kelebihan untuk menggunakan perkhidmatan penjagaan kediaman melalui Allianz Partners setahun sekali bagi perkhidmatan kawalan serangga seperti anai-anai atau pepijat katil.

Menariknya, kelebihan tersebut turut diperluas kepada perkhidmatan pensanitasi kuman di kediaman sekiranya salah seorang daripada ahli kediaman dijangkiti COVID-19.

Selain itu, perkhidmatan pembaikan segera untuk kediaman di bawah komponen EmpunyaRumah (bangunan) dan IsiRumah (barangan rumah) turut ditawarkan tanpa sebarang bayaran atau proses dokumentasi.

Jelas beliau, meskipun perkhidmatan itu hanya dijalankan di sekitar Lembah Klang, pihaknya akan terus berusaha mengembangkan perkhidmatan tersebut ke bandar-bandar utama lain dalam masa terdekat.

"Polisi Smart Home Cover kini lebih fleksibel dan dilengkapi dengan komponen ketara yang membolehkan pelanggan kami mendapatkan manfaat daripada pemilikan polisi kediaman.

"Komponen pembaikan rumah yang dipertingkat itu memudahkan pelanggan kami untuk mendapatkan perkhidmatan atau pembaikan tanpa mengeluarkan wang selain mudah dan pantas," tambahnya lagi. - DagangNews.com