KUALA LUMPUR 5 Okt - smart Malaysia memperkenalkan model perdana smart #1 varian Brabus, sempena Pameran Mobiliti Elektrik Antarabangsa (IEMS).
Menandakan bab baharu kerjasama antara smart dan BRABUS, kenderaan elektrik (EV) itu merangkumi lebih dua dekad sejarah inovasi, prestasi dan keperibadian jenama Brabus.
Terkenal dengan mempertingkatkan kenderaan Mercedes-Benz, syarikat mengguna kepakarannya bagi mencipta kenderaan yang merangkumi kecemerlangan dan gaya.
Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, setelah memperkenalkan varian smart #1 Brabus, pihaknya teruja untuk membuka laluan baharu dalam pasaran EV tempatan.
"Dengan gabungan teknologi canggih, prestasi EV yang luar biasa dan keselesaan tanpa kompromi, model Brabus adalah varian tertinggi bagi model pertama kami, iaitu smart #1.
"Penyertaan smart Malaysia di IEMS juga mempamerkan komitmen syarikat ke arah membantu Malaysia mencapai matlamat pelepasan sifar bersih jangka panjangnya.
"Ketika kami menghampiri pelancaran rasmi pada suku terakhir tahun ini, kami mempunyai banyak lagi perkembangan menarik untuk diumumkan yang akan mentakrifkan semula pengalaman pemilikan EV," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Terdahulu, pelancaran tersebut dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah.
Sementara itu, varian smart #1 Brabus direka untuk peminat kenderaan berprestasi tinggi, dengan masa pecutan 0 hingga 100 km/j dalam masa 3.9 saat. Kebolehan ini mampu dicapai kerana ia dipacu oleh Dual-motor All-Wheel- Drive powertrain yang mempunyai 315 kW/543 Nm yang menawarkan pengendalian dan daya tarikan luar biasa.
Selain itu, smart #1 Brabus mempunyai luaran yang dinamik dan aerodinamik, dilengkapi dengan dalaman mewah yang menampilkan bahan premium. Ia juga dilengkapi dengan trim dalaman 'Brabus' yang eksklusif, manakala warna luarannya menawarkan tujuh kombinasi yang berbeza.
Jika memilih bumbung Radiant Red, pembeli boleh memilih daripada warna luaran Atom Grey – Matte, Meta Black dan Cyber Silver. Jika lebih berminat bumbung hitam, ia boleh digabungkan dengan warna Digital White, Laser Red dan Cyber Silver. Terdapat Atom Grey – Matte, yang turut mnerima bumbung berwarna badan.
Anggaran harga bagi smart #1 Pro, Premium dan Brabus dengan cukai jualan dan perkhidmatan (di atas jalan, tanpa insurans) adalah dari RM200,000 hingga RM250,000.
Orang ramai boleh menempah mulai sekarang melalui aplikasi Hello smart dan berpeluang memenangi hadiah smart #1 yang terawal, terdiri daripada kredit pengecasan bernilai RM1,001. - DagangNews.com