SME Bank buka peluang PKS tembusi pasaran United Kingdom melalui penganjuran Gateway To UK | DagangNews Skip to main content

SME Bank buka peluang PKS tembusi pasaran United Kingdom melalui penganjuran Gateway To UK

Bengkel Gateway To UK anjuran SME Bank memanfaatkan 45 buah syarikat tentang kemasukan pasaran, daripada aspek penyelidikan pasaran dan pengenalan bakal pelanggan sehingga ke pembangunan perniagaan dan jualan.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Julai - Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menembusi pasaran United Kingdom (UK) melalui bengkel “Gateway to UK”. 

 

Bengkel tiga hari ini akan memanfaatkan 45 buah syarikat tentang kemasukan pasaran, daripada aspek penyelidikan pasaran dan pengenalan bakal pelanggan sehingga ke pembangunan perniagaan dan jualan.

 

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr Aria Putera Ismail berkata, pihaknya sedang mencari sekurang-kurangnya 10 PKS yang layak untuk menjadi sebahagian daripada Misi Pecutan Eksport London (EAM London) yang diadakan pada Januari 2024. 

 

"EAM London membuka jalan kepada mereka untuk memperoleh pengalaman langsung tentang cara mengembangkan perniagaan mereka di peringkat antarabangsa dengan melibatkan diri dengan pembeli berpotensi, mencari pelabur dan membina rangkaian dengan diaspora Malaysia di rantau ini," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Ketua Koordinasi dan Program Khusus, Saaidah Khadijah Naim pula berkata, Bengkel Gateway to UK telah menarik pengeksport pelbagai peringkat daripada pemula yang tidak pernah mengeksport kepada pengeksport maju yang ingin mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran UK. 

 

"Tahap pengeksport yang berbeza dalam bengkel ini menjadikan inisiatif ini lebih bermanfaat dengan membolehkan mereka berkongsi pengetahuan dan pengalaman antara satu sama lain," katanya.

 

Sementara itu, SME Bank dengan sokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) membawa Makan Bites Ltd, penghubung pasaran yang berpangkalan di London yang pakar dalam membantu PKS memasuki pasaran UK dan Eropah. 

 

 

sme
                                                                          Datuk Dr Aria Putera Ismail

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Makan Bites, Cheryl Ellron berkata, pihaknya melihat begitu banyak syarikat Malaysia yang berpotensi semasa bengkel ini. 

 

"Dengan kerjasama aktif dengan agensi kerajaan seperti SME Bank, Matrade dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kami berharap dapat membawa lebih banyak produk buatan Malaysia untuk memasuki pasaran UK dan mewujudkan lebih banyak kesedaran mengenai produk ini,” katanya. 

 

 

sme

 

 

EAM merupakan salah satu aktiviti di bawah Business Export Program (BEP), inisiatif di bawah KUSKOP, yang mana SME Bank diamanahkan dengan dana bernilai RM13.1 juta. 

 

Pada 2022, SME Bank membawa seramai 47 peserta BEP untuk menyertai lima EAM. Sejak menyertai BEP dan sehingga Disember 2022, mereka berjaya menjana jualan eksport sebanyak RM123.4 juta. 

 

 

sme

 

 

Untuk 2023, SME Bank mengambil bahagian dalam dua EAM yang melibatkan 18 peserta dan dua EAM dijadualkan untuk tahun ini. - DagangNews.com