SME Bank tanggung sewa bernilai RM3.45 juta bantu PKS | DagangNews Skip to main content

SME Bank tanggung sewa bernilai RM3.45 juta bantu PKS

KUALA LUMPUR 11 Sept. - SME Bank mengambil langkah untuk menampung bayaran sewa 230 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Kompleks Premis Usahawan miliknya pada tempoh moratorium (April hingga September 2020) untuk meringankan beban mereka selepas terjejas akibat COVID-19.

Dalam masa sama, penyewa juga diberikan pengecualian pembayaran sewa sehingga 50% bagi tempoh enam bulan seterusnya.

Bayaran sewa yang telah ditransaksikan akan dibawa ke hadapan. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, langkah itu adalah seiring pengumuman 29 inisiatif jangka pendek dan sederhana yang diambil oleh pihaknya dalam membantu lebih 20,000 orang usahawan PKS kembali meningkatkan semula prestasi perniagaan mereka yang terjejas akibat COVID-19. 

 

Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

 

“Pengecualian bayaran sewa bagi tempoh April hingga September 2020 ini akan memberikan penjimatan kos operasi sebanyak RM2.3 juta.

“Manakala bagi diskaun 50% untuk bayaran sewa bagi tempoh enam bulan seterusnya pula akan memberikan penjimatan lebih RM1.15 juta kepada penyewa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ini menjadikan jumlah bantuan sewa yang ditanggung oleh SME Bank bernilai RM3.45 juta.

Bagi memudahkan proses, inisiatif ini akan dijalankan secara automatik dan penyewa tidak perlu membuat sebarang permohonan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail
Aria Putera Ismail

 

“SME Bank sangat proaktif dalam memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan efisien kepada usahawan PKS yang terkesan akibat pandemik COVID-19,” kata Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail.

Kompleks Premis Usahawan SME Bank adalah salah satu kemudahan yang disediakan khusus untuk usahawan PKS tempatan. - DagangNews.com