‘SME Digital Accelerator’ bantu transformasi pendigitalan PKS | DagangNews Skip to main content

‘SME Digital Accelerator’ bantu transformasi pendigitalan PKS

SME Digital Accelerator

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Program SME Digital Accelerator dijalankan bagi membantu dan membawa transformasi digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini ke tahap yang lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri berkata, pendigitalan adalah satu keperluan kepada PKS di Malaysia untuk terus berdaya saing mendepani cabaran perniagaan semasa sekali gus meningkatkan pulangan pelaburan.

"Melalui SME Digital Accelerator, kami menawarkan pendekatan berstruktur kepada PKS untuk menerapkan penyelesaian digital yang tepat dan dapat membantu mengubah perniagaan mereka dalam aspek orang, proses dan sebagainya.

"Melalui program ini, kami berharap ia dapat menjadi pemangkin transformasi digital sektor perusahaan kami  untuk terus memperoleh manfaat bersama ke arah ekonomi yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Surina Shukri
Surina Shukri

 

Program tersebut menyediakan langkah demi langkah yang berstruktur berkaitan digitalisasi dan membantu penyelesaian masalah dalam perniagaan semasa.

Program yang dijalankan oleh MDEC itu boleh disertai melalui platform agensi Digital Xccelerator (DX) di pautan www.dx.com.my.

Peserta PKS akan diberi peluang bimbingan penuh, insentif kewangan dan peningkatan keupayaan untuk membantu mereka menerapkan penggunaan digital.

 

SME Digital Accelerator

 

Melalui program itu, PKS akan lebih kompetitif, mengurangkan kos operasi perniagaan, menambah kecekapan operasi dan dapat meningkatkan jumlah pendapatan secara keseluruhan.

Sementara itu, Pengarah Perniagaan Digital Adoption MDEC, Muhundhan Kamarapullai berkata, majoriti PKS menginginkan transformasi digital dan terpaska berdepan dengan pelbagai cabaran semasa seperti kekurangan pengetahuan dan kemahiran menggunakan alatan digital.

"SME Digital Accelerator akan memberikan pendekatan dan langkah demi langkah untuk memastikan transformasi digital PKS dapat mencapai hasil yang diinginkan khususnya seperti mana yang dicapai PKS dalam meningkatkan produktiviti mereka sebanyak 30% setelah menggunakan pendekatan berstruktur dalam transformasi digital mereka," ujarnya lagi. 

Program tersebut mendapat kerjasama daripada rakan kongsi MDEC lain seperti 1337 Ventures, K Squared dan Selangor Information & Technology E-Commerce Council (SITEC).- DagangNews.com