Smiths Detection pasang 1,856 panel solar di tapak pembuatan Johor Bahru | DagangNews Skip to main content

Smiths Detection pasang 1,856 panel solar di tapak pembuatan Johor Bahru

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Nov - Peneraju global dalam pengesanan ancaman dan teknologi pemeriksaan keselamatan, Smiths Detection telah memasang sebanyak 1,856 panel solar di atas bumbung tapak pembuatannya di Johor Bahru.

 

Panel solar ini akan menjana sebanyak 1279kWp/kWh yang akan menyumbang 25% keperluan tenaga tahunan tapak pembuatannya dan penjimatan kos ketara melebihi RM544,712 setiap tahun. 

 

Pengarah Operasi Smiths Detection Malaysia, Wai Shyuan Ong berkata, projek ini merupakan satu peristiwa penting bagi Smiths Detection mengambil kesempatan daripada cahaya matahari sepanjang tahun di Malaysia.

 

"Penggunaan tenaga suria di Malaysia adalah satu langkah ke hadapan dalam memastikan sumber tenaga yang mampan untuk Smiths Detection dan mengurangkan permintaan grid tenaga boleh diperbaharui pada peringkat nasional memandangkan peralihan banyak negara daripada bahan api fosil. 

 

"Smiths Detection, dan syarikat induknya Smiths Group komited untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2040 bagi operasinya. Di peringkat global, 95% daripada operasi Smiths Detection adalah dikuasakan daripada sumber boleh diperbaharui," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Kelestarian Smiths Group, John Ostergren pula berkata, ini adalah pencapaian yang luar biasa untuk Smiths Detection dan ia juga menunjukkan komitmen pihaknya terhadap sifar bersih untuk masa hadapan. 

 

"Kami menantikan lebih banyak projek seperti ini untuk dilancarkan untuk mengurangkan kesan kepada alam sekitar," katanya.

 

Fasiliti 130,000 kaki persegi yang menghasilkan sistem penyaring bagasi tangan, bungkusan, palet dan muatan itu terletak di Kawasan Perindustrian Southern Industrial & Logistics Clusters  (SILC) di Nusajaya. - DagangNews.com