SMJ ambil alih 25% ekuiti bernilai RM1.2 bilion dalam Petronas Chemicals Fertiliser Sabah | DagangNews Skip to main content

SMJ ambil alih 25% ekuiti bernilai RM1.2 bilion dalam Petronas Chemicals Fertiliser Sabah

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 April - Kerajaan Sabah, melalui syarikat miliknya, SMJ Sdn Bhd dan Petronas Chemicals Group Berhad telah menandatangani perjanjian pembelian saham bernilai RM1.2 bilion.

 

Perjanjian tersebut adalah untuk mengambil alih 25% kepentingan ekuiti dalam Petronas Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd.

 

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pengawai Eksekutif SMJ, Dr. Dionysia Aloysius Kibat dan juga Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof.

 

"Perjanjian ini memberikan peluang untuk kerjasama selanjutnya dan saya gembira perjanjian ini diselesaikan dengan pantas," kata Dionysia dalam satu kenyataan bersama hari ini.

 

Sementara itu, Mohd Yusri mengulas lanjut bahawa peluang tersebut memperkukuhkan hubungan kerja antara Petronas Chemicals  dan negeri Sabah serta membuka potensi untuk kerjasama serupa pada masa depan.

 

“Kami juga yakin bahawa kerjasama ini akan semakin memacu pembangunan dalam Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) bagi mencipta lebih banyak manfaat ekonomi kepada komuniti-komuniti sekitar di Sabah," tambahnya.

 

 

Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof
                   Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof

 

 

Petronas Chemicals Fertiliser Sabah ditubuhkan pada 2011 untuk membina, memiliki dan mengendalikan kompleks pengeluaran bersepadu untuk ammonia dan urea di SOGIP, Sipitang, Sabah.

 

Syarikat tersebut mempunyai kemudahan pengeluaran ammonia dan urea berskala dunia dengan hasil sebanyak 1.9 juta tan metrik setahun.

 

Ia merupakan loji ammonia dan urea “single train” terbesar di Asia Tenggara, dan loji urea ketiga terbesar di Asia Pasifik, merangkumi tanah seluas 211 hektar, berhampiran dengan pasaran pertumbuhan utama di Asia Pasifik.

 

Selain itu, syarikat itu merupakan pemangkin utama dalam pembangunan industri minyak dan gas di Sabah dan merupakan loji baja pertama yang dibina di negeri itu. -DagangNews.com