KUALA LUMPUR 21 Jan - Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Putra di Kuala Langat yang terbengkalai sejak tiga tahun lalu, kini siap sepenuhnya dan bakal beroperasi pada penggal baharu persekolahan Mac ini.
Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin ketika meninjau sekolah berkenaan bersama Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Xavier Jayakumar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi, hari ini.
Dr. Radzi berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan memaklumkan berkenaan pendaftaran pelajar ke sekolah tersebut dalam masa terdekat.
"Sekitar setahun lalu, kami telah ke SMK Bandar Saujana Putra untuk meninjau pembinaan sekolah yang terbengkalai sejak 2019. Alhamdulillah, awal minggu ini saya dimaklumkan pembinaan sekolah telah siap sepenuhnya.
"Hari ini, kami sekali lagi turun untuk melihat persediaan terakhir sebelum sekolah dibuka dan mula beroperasi bagi penggal baharu persekolahan pada bulan Mac nanti," katanya menerusi Facebook malam tadi.
Beliau berkata, mengetahui kesukaran ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah, pihaknya dapat merasakan betapa mereka tertunggu-tunggu bilakah SMK Bandar Saujana Putra ini boleh mula beroperasi.
"Memahami kesulitan yang dihadapi oleh ibu bapa dan murid, saya telah meminta supaya projek ini dipulih dan disiapkan segera serta dipantau dari semasa ke semasa. KPM komited melakukan yang terbaik," katanya.
Katanya, dengan adanya kemudahan SMK Bandar Saujana Putra, ia tentu memberi banyak kemudahan dan manfaat kepada ibu bapa di kawasan itu bagi membolehkan mereka menghantar anak ke sekolah yang lebih dekat. - DagangNews.com