SMK Tinggi St. David muncul juara pertandingan DIY Made Simple 2024 | DagangNews Skip to main content

SMK Tinggi St. David muncul juara pertandingan DIY Made Simple 2024

(Dari kiri) Ketua Kewangan MR D.I.Y. Kumpulan, Anne Chong; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MR D.I.Y., Zaleha Mohd Mydin; Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MR D.I.Y., Datuk Seri Loo Chong Peng; Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya, Profesor Dr. Zamri Radzi; Fakulti Senibina Universiti Malaya dan Ketua Hakim, Profesor Sr. Ts. Dr. Azlan Shah Ali; Pengarah Pusat Penglibatan Komuniti Universiti Malaya (UMCares), Profesor Madya Dr. Amer Siddiq Amer Nordin bersama juara DIY Made Simple 2024
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Ogos - SMK Tinggi St. David dari Bukit Baru, Melaka dinobatkan sebagai juara pertandingan DIY Made Simple 2024, menewaskan 590 penyertaan daripada 192 buah sekolah di seluruh negara hari ini di Auditorium Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya.

 

Acara tahunan peringkat kebangsaan itu dianjurkan oleh Kumpulan MR D.I.Y Bhd dengan kerjasama Pusat Penglibatan Komuniti Universiti Malaya (UMCares) dan Fakulti Alam Bina UM, serta disokong oleh bahagian sukan, kokurikulum dan kesenian dari Kementerian Pendidikan.

 

Pertandingan tahun ini yang bertemakan “Ciptaan Hebat daripada Bahan Sisa: Edisi Kertas dan Plastik” itu menggalakkan pelajar meningkatkan kemudahan sekolah dengan menggunakan bahan sisa kertas dan plastik dengan bijak bagi mengurangkan kos dan menggalakkan penyelesaian yang lestari.

 

Menurut kenyataan hari ini, projek "Simple Shoe Cleaner 1.0" sekolah itu dibuat daripada kepingan kertas mampat, epoksi, penutup botol yang dicairkan dan botol plastic yang berfungsi untuk membersihkan tapak kasut pelajar.

 

Semasa majlis penyampaian hadiah, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MR D.I.Y., Zaleha Mohd Mydin menekankan matlamat pertandingan itu dalam membina pemahaman amalan mampan dalam kalangan murid-mrid yang boleh menghasilkan impak positif kepada persekitaran sekolah.

 


Pengarah Pusat Penglibatan Komuniti Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Amer Siddiq Amer Nordin juga berkata pertandingan DIY Made Simple memainkan peranan penting dalam mencetuskan kreativiti dan memupuk inovasi dalam kalangan generasi muda.

 

"Pertandingan unik seperti ini akan mempersiapkan generasi muda dengan kemahiran dan kecekapan yang penting untuk meraih kejayaan dalam dunia global.

 

"Inisiatif ini membuktikan kerjasama dan komitmen berterusan semua rakan kongsi dalam menghasilkan impak yang besar kepada komuniti. 

 

Beliau juga menggariskan peranan penting universiti, badan kerajaan, industri, organisasi bukan kerajaan, dan media untuk bekerjasama dan saling menyokong dalam melaksanakan inisiatif yang dapat membawa hasil yang bermakna kepada masyarakat.

 

Sebagai juara, SMK Tinggi St. David membawa pulang wang tunai berjumlah RM4,000, manakala SMK St. Peter Kudat (M), Kudat, Sabah di tempat kedua (RM3,000) dan tempat ketiga, SMK Seri Panching, Kuantan, Pahang (RM2,000).- DagangNews.com