KUALA LUMPUR 28 Dis - SMTrack Bhd. memeterai perjanjian jual beli kenderaan udara autonomi berpenumpang (AAV) dengan Strong Rich Holding Ltd untuk membeli AAV EHang 216 (EH216) bernilai US$2.5 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Pakar penyelesaian Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) itu berkata, EH216 yang mempunyai nombor siri pembuatan EH22000016, dibeli bersama-sama dengan semua bahagian yang dipasang, termasuk unit kuasa, kipas dan gear pendaratan, avionik utama, dalaman kabin, dan roda, dipasang, atau disambung pada AAV.
Katanya, harga pembelian bagi pengambilalihan itu adalah berdasarkan kepada kerelaan penjual-pembeli selepas mengambil kira nilai pasaran AAV.
"Pengambilalihan ini akan dibiayai menerusi hasil yang dikumpul daripada terbitan nota boleh tukar boleh tebus dan tawaran penempatan persendirian.
“Rasional pengambilalihan itu adalah untuk mewujudkan integrasi perniagaan dengan Strong Rich bagi meningkatkan hasil SMTrack,” katanya.
Pengambilalihan itu tidak akan memberi sebarang kesan ketara ke atas pendapatan, aset bersih dan kadar hutang SMTrack bagi tahun kewangan semasa yang berakhir pada 31 Disember 2021.
Tetapi, ia dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatannya pada masa depan. - DagangNews.com