SMTrack meterai perjanjian rundingan dengan Menara Rezeki Properties bernilai RM80 juta | DagangNews Skip to main content

SMTrack meterai perjanjian rundingan dengan Menara Rezeki Properties bernilai RM80 juta

KUALA LUMPUR 3 Julai - Anak syarikat milik penuh SMTrack Bhd, SMT Turbojet Resources Sdn Bhd akan membantu Menara Rezeki Properties Sdn Bhd (MRPSB) untuk menjalankan perkhidmatan berdasarkan bidang tugas seperti yang ditetapkan melalui perjanjian perunding pengurusan projek bernilai RM80 juta.

 

SMTrack dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, perjanjian itu ditandatangani di antara MT Turbojet dan MRPSB baru-baru ini.

 

Menurut SMTrack, rasional perjanjian adalah bagi memantapkan kedudukan pengintegrasian perniagaan untuk dipelbagaikan kepada aktiviti-aktiviti lain bagi meningkatkan perolehannya.

 

“Projek ini dijangka bermula sejak tarikh pengesahan bertulis daripada MRPSB bahawa tanah komersial itu telah dipindahkan ke atas nama MRPSB.

 

"MRPSB akan membayar fi kepada SMT Turbojet Resources bersamaan 10 peratus daripada anggaran kos pembangunan kasar projek, iaitu kira-kira RM800 juta,” katanya.

 

Menurut SMTrack, projek itu dijangka bermula pada suku ketiga 2023 selepas tanah itu dipindahkan dan didaftarkan ke atas nama MRPSB, manakala tempoh anggaran bagi menyiapkan projek adalah pada suku ketiga 2027. - DagangNews.com