SNS Network terima kontrak bekal sistem maklumat geografi daripada Esri | DagangNews Skip to main content

SNS Network terima kontrak bekal sistem maklumat geografi daripada Esri

Kelvin Pah (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Esri Malaysia, Tan Choon Sang.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 Feb - SNS Network Technology Bhd dilantik sebagai rakan kongsi nilai tambah Esri Malaysia Sdn Bhd untuk memasarkan penyelesaian sistem maklumat geografi (GIS) di Malaysia.

 

Penyedia sistem dan penyelesaian teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) itu berkata, ia akan menjual penyelesaian tersebut kepada pelanggan Esri sedia ada dan berpotensi daripada perusahaan kecil dan sederhana, syarikat awam dan agensi kerajaan.

 

Pengarah Eksekutif SNS Network, Kelvin Pah berkata, kerjasama ini membolehkan pihaknya mengembangkan perkhidmatan dan penyelesaian ICT untuk memasukkan teknologi geospatial terkini.

 

"Dengan menggabungkan teknologi geospatial tercanggih Esri, kami bukan sahaja memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang tetapi juga menyumbang kepada kemajuan perancangan bandar pintar di Malaysia," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

sns

 

Beliau menambah bahawa pakatan strategik itu menandakan satu langkah penting ke arah memupuk inisiatif bandar pintar di Malaysia, memanfaatkan teknologi GIS termaju Esri melalui rangkaian meluas dan kepakaran SNS Network.

 

Menurut SNS Network, Esri ialah pembekal terkemuka penyelesaian visualisasi dan analisis data spatial untuk perniagaan dan agensi kerajaan dalam semua saiz.

 

Saham SNS Network ditutup pada 25 sen, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM403 juta.- DagangNews.com