Somorova kembali ke Continental Tyre Malaysia selaku Pengarah Urusan | DagangNews Skip to main content

Somorova kembali ke Continental Tyre Malaysia selaku Pengarah Urusan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Feb - Andrea Somorova kembali semula ke Continental Tyre Malaysia selaku Pengarah Urusan yang baharu bermula Januari 2022.

 

Beliau yang berasal dari Slovakia sudah berkhidmat selama 23 tahun bersama Continental Group termasuk berada di Asia selama 18 tahun dan pernah menjawat jawatan Pengurus Besar di Continental of Taiwan selain berada di Malaysia buat kali pertama antara 2004 hingga 2010.

 

Beliau memulakan kerjaya bersama Continental Group bermula 1999 di Slovakia sebelum berpindah ke Jerman sebelum terlibat dengan bidang pengurusan di Asia termasuk Malaysia selain rantau Asia Pasifik.

 

Semasa berada di Taiwan, Somorova berjaya membawa jenama Continental menjadi antara jenama terkemuka di Asia Pasifik selain mengetuai pasukan untuk berdepan cabaran COVID-19.

 

Beliau berkata, perkembangan kerjayanya bersama Continental Group sangat luar biasa termasuk mengetuai perniagaan di Taiwan untuk tempoh lima tahun sebelum ini.

 

"Pengalaman di Taiwan akan membantu saya untuk berkhidmat di Malaysia yang dijangka menawarkan pelbagai peluang menarik untuk Continental, pasukan kami dan pelanggan.

 

"Saya teruja untuk kembali ke Malaysia dan menyambung kembali tugasan saya sebelum ini. Saya juga akan memainkan peranan dalam membantu Continental Tyre Malaysia untuk berkembang dan memberikan inovasi baharu kepada pelanggan kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pelantikan Somorova itu dibuat bagi mebggantikan Samir Gupta yang akan bertanggungjawab terhadap operasi di India selain mengetuai Central Asia Region Passenger and Light Truck Tires Replacement Business (PLT RE) di Continental. 

 

Menurut Samir, Somorova akan memainkan peranan besar dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan Continental di Malaysia.

 

"Beliau memiliki pengalaman luas di rantau ini dan sudah biasa dengan pasaran Malaysia, ia akan melengkap pasukan di negara yang pernah saya berkhidmat selama dua tahun," katanya. - DagangNews.com