NEW YORK 17 Sept. - Selepas menjalankan beberapa tayangan awal dan acara kecil, Sony akhirnya membuat pendedahan harga sebenar teknologi permainan kawalan jauh, PlayStation 5 (PS5).
Menurut Sony, PS5 akan dijual pada harga AS$499 (RM2,067.61).
Harga tersebut adalah sama dengan teknologi saingannya iaitu Xbox Series X Microsoft yang turut dijual pada harga AS$499.
"PS5 akan dilancarkan pada 12 November nanti di Amerika Syarikat (AS), Jepun, Kanada, Mexico, Australia, New Zealand dan Korea Selatan.
"Bagi negara-negara lain pula, ia akan dilancarkan pada 19 November 2020," jelas Sony dalam satu kenyataan ringkasnya seperti dipetik CNN.
Bagaimanapun, Sony mengatakan pelancaran PS5 di negara China masih dalam proses penilaian (under exploration).
Sony turut mempunyai edisi digital PS5 yang dicipta tanpa pemacu konsol dan dijual pada harga lebih murah iaitu AS$300.
Xbox Series X Microsoft pula akan dilancarkan dua hari awal berbanding PS5 iaitu pada 10 November 2020.
Dalam pelancaran tersebut, Microsoft turut menampilkan Series S yang lebih murah pada harga AS$299.
Menurut penganalisis teknologi Creative Strategies, Carolina Milanesi berkata, perbezaan tarikh pelancaran dua teknologi hebat itu tidak memberi perbezaan ketara dalam aspek penjualan.
"Saya fikir orang ramai sudah boleh tentutan yang mereka akan memilih teknologi mana. Dan kebanyakan mereka akan menaik taraf daripada teknologi konsol yang sedia ada.
"Ia sama sahaja dengan pasaran telefon pintar atau PC, Anda akan membuat pilihan samada untuk membeli Android atau iPhone," jelasnya. - DagangNews.com