KUALA LUMPUR 19 April - Prosedur operasi standard (SOP) berkaitan ibadah di tanah suci khususnya dalam menggariskan peranan syarikat pengelola jemaah haji dan pengendali umrah bakal diperincikan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Dr. Noor Zari berkata, SOP yang digariskan itu akan mengikut ketetapan semasa kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.
"MOTAC selaku kementerian yang mengawal selia pengendalian pakej umrah atau ziarah, berperanan melihat aspek SOP bagi kedua-dua negara dan hal-hal kebajikan jemaah Malaysia semasa mengerjakan umrah apabila pihak kerajaan bersedia membenarkan semula pelaksanaan ibadah itu," katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menyertai delegasi Malaysia ke Arab Saudi bagi lawatan kerja Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang berakhir semalam.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, MOTAC dan delegasi terlibat turut mengadakan perbincangan bagi menyediakan draf kerangka SOP untuk dipertimbangkan kerajaan Malaysia.
Ia adalah sebagai persediaan sekiranya kerajaan Arab Saudi membenarkan ibadah itu berlangsung apabila sempadan antara kedua-dua negara kembali dibuka.
Ujarnya, perbincangan yang dibuat meliputi beberapa perkara penting seperti proses-proses dan keperluan melibatkan peranan pelbagai pihak berkaitan pelaksanaan SOP yang perlu dipatuhi pada tiga jangka waktu.
Jangka waktu tersebut termasuk sebelum berangkat, semasa mengerjakan ibadah di Tanah Suci dan setelah kembali ke Malaysia.
"Kerajaan Arab Saudi telah memperkenalkan dasar-dasar baharu dan menguatkuasakan SOP yang ketat sejak membenarkan semula aktiviti umrah kepada umat Islam selain warganegara Arab Saudi pada 1 Nov 2020 lalu.
“Pindaan dari semasa ke semasa turut dibuat kepada SOP tersebut selaras dengan langkah-langkah pencegahan COVID-19 di negara itu, MOTAC mengikuti rapat sebarang perkembangan baharu berhubung perkara tersebut,” katanya lagi. - DagangNews.com