Kilang Southern Cable beroperasi di Kuala Ketil dan Sungai Petani, Kedah.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Okt. - Southern Cable Group Bhd. memperoleh kontrak bernilai RM18.5 juta daripada Tenaga Nasional Bhd. (TNB) bagi membekalkan kabel dan konduktor bawah tanah.
Di bawah kontrak itu, anak syarikat milik penuhnya, Southern Cable Sdn. Bhd. akan membekalkan dan menyediakan kabel dan konduktor bawah tanah untuk Bahagian Rangkaian Pengedaran TNB.
Kontrak tersebut adalah bagi tempoh 6 bulan bermula Oktober 2021.
Pengarah urusan Southern Cable Group, Tung Eng Hai berkata, dengan memperoleh kontrak terbaharu daripada TNB ini, ia menunjukkan pertumbuhan berterusan untuk kabel dan wayar dalam menyokong peningkatan keperluan tenaga negara.
Katanya, kumpulan akan memenuhi permintaan yang lebih tinggi dengan memanfaatkan pelbagai rangkaian produk yang komprehensif dan rekod baik merentasi pelbagai sektor termasuklah tenaga, tenaga diperbaharui (RE), telekomunikasi, pembinaan dan infrastruktur.
"Bukan itu sahaja, tetapi kami menjangkakan projek pembangunan dan infrastruktur baharu di bawah Belanjawan 2022 yang akan menjadi pemangkin untuk meningkatkan keperluan penggunaan kabel dan wayar.
"Kami sudah melihat lonjakan dari segi pertanyaan dan tempahan apabila aktiviti ekonomi kembali dengan peralihan lebih banyak negeri daripada fasa 3 kepada fasa 4 di bawah Pelan Pemulihan Negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), kerajaan mengumumkan pelbagai pendekatan untuk menambah baik subsektor elektrik termasuk meningkatkan pemasangan kapasiti bagi jana kuasa RE daripada 22.4% pada 2020 kepada 31% menjelang 2025.
Southern Cable berada dalam kedudukan yang baik untuk memenuhi keperluan dalam sektor RE di Semenanjung Malaysia, serta Sabah dan Sarawak seperti solar, biomas, biogas, mini hidro dan sisa buangan kepada tenaga yang kesemuanya memerlukan kabel dan wayar bagi pengedaran kuasa.
Ini memberi keyakinan kepada Southern Cable untuk meraih kontrak daripada industri tenaga solar dalam tempoh terdekat apabila lebih banyak skim solar berskala besar 4 (LSS4) dimulakan, menurut Eng Hai
"Kami merupakan pembekal utama industri berdasarkan kepada rangkaian produk kami yang komprehensif, kualiti dan rekod yang baik," katanya. -DagangNews.com