Southern Cable sasarkan jualan RM100 juta daripada eksport kabel, wayar ke AS | DagangNews Skip to main content

Southern Cable sasarkan jualan RM100 juta daripada eksport kabel, wayar ke AS

KUALA LUMPUR 11 Okt - Southern Cable Group Bhd menyasarkan untuk meraih RM100 juta jualan kabel dan wayar kepada Amerika Syarikat (AS) pada tahun berakhir 31 Disember 2023 (FY23).

 

Pengilang kabel dan wayar itu berkata ia akan memulakan penghantaran kepada pengedar kabel dan wayar yang berpangkalan di AS pada suku keempat (S4) 2022.

 

Pengarah Urusan Tung Eng Hai berkata kejayaan memperoleh kemasukan ke pasaran asing yang jauh lebih besar daripada jangkauan domestik semasa syarikat telah meningkatkan potensi pasarannyai.

 

"Kami sedang dalam proses merancang kapasiti pengeluaran kami untuk jangkaan pesanan yang lebih besar ke AS tahun depan dan yakin dapat mengembangkan pangkalan pelanggan AS kami, memanfaatkan daya saing dan kualiti produk kami.

 

"Kami juga mempunyai keupayaan untuk menghasilkan kabel dan wayar untuk sektor yang luas termasuk pengagihan kuasa, pembinaan, telekomunikasi, dan minyak dan gas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tung berkata dalam usahanya untuk menyasarkan lebih banyak peluang eksport ke AS, syarikat itu akan terus membangunkan lebih banyak produk dan memperoleh pensijilan untuk memenuhi keperluan industri yang lebih luas.

 

Menurut syarikat penyelidikan pasaran Global Market Insights, saiz pasaran kabel dan wayar Amerika Utara melebihi AS$27 bilion pada 2020 dan ia diunjurkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul enam peratus dari 2021 dan 2027 untuk mencecah AS$44.5 bilion.

 

Sebaliknya, pasaran kabel dan wayar Malaysia bernilai RM10.3 bilion pada 2019.

 

 

Tung Eng Hai

 

 

Southern Cable mempunyai pesanan semasa dalam tangan lebih daripada RM800 juta untuk dipenuhi untuk pelanggan Malaysia dan luar negara sehingga 2024.

 

Tempahan dalam tangan termasuk kontrak bekalan kabel kuasa bawah tanah bernilai RM294 juta yang diperoleh daripada Tenaga Nasional Bhd dan pesanan pembelian bernilai RM12 juta daripada pelanggannya yang berpangkalan di AS.

 

Pada mesyuarat agung luar biasa syarikat hari ini, para pemegang saham meluluskan terbitan bonus waran berdasarkan satu waran bagi setiap dua saham biasa Southern Cable yang dipegang.

 

Terbitan itu terdiri daripada 400 juta waran lima tahun dengan pilihan bagi pemegang waran untuk melaksanakan satu waran untuk melanggan satu saham Southern Cable baharu.

 

Pada harga pelaksanaan indikatif 28 sen setiap waran dan dengan mengandaikan pelaksanaan sepenuhnya waran sebelum matang, syarikat itu menyasarkan untuk mengumpul RM112.2 juta dalam hasil kasar untuk tujuan modal kerja.

 

Daripada RM112.2 juta hasil kasar, 80 peratus atau RM89.7 juta akan digunakan untuk pembelian bahan mentah, manakala baki 20 peratus atau RM22.4 juta digunakan untuk alat ganti, kos penyelenggaraan dan kos lain yang berkaitan untuk loji, mesin dan peralatan, serta overhed operasi termasuk kos buruh, utiliti dan perbelanjaan overhed kilang lain.

 

Tung berkata hasil daripada pelaksanaan waran akan menyediakan modal kerja tambahan untuk menyokong pertumbuhan perniagaannya.

 

"Bukan itu sahaja, pelaksanaan waran kami juga boleh membolehkan pemegang saham kami meningkatkan pemilikan mereka dalam Southern Cable untuk mengambil bahagian dalam prospek jangka panjang kami," katanya. - DagangNews.com