KUALA LUMPUR 1 Julai – S&P Global Ratings menyemak semula gambaran pasaran (outlook) ke atas 5 bank Malaysia iaitu Malayan Banking Bhd (Maybank), CIMB Bank Bhd, Public Bank Bhd, RHB Bank Bhd dan AmBank (M) Bhd daripada stabil kepada negatif.
Dalam kenyataan media S&P berkata, penarafan sedemikian adalah berdasarkan semakan semula gambaran pasaran terhadap penarafan kredit berdaulat ke atas Malaysia, kerana bank-bank tersebut dijangka terus mendapat manfaat sokongan luar dari kredit berdaulat itu untuk tempoh antara 12 hingga 24 bulan akan datang.
S&P mengesahkan penarafan kredit penerbitan berjangka panjang A- dan jangka pendek A-2 ke atas Maybank, CIMB Bank dan Public Bank, dan berjangka panjang BBB+ serta berjangka pendek A-2 terhadap RHB Bank dan AmBank.
Bagaimanapun katanya, penarafan ke atas bank-bank ini boleh menurun satu anak tangga jika berlaku penurunan gred terhadap kredit berdaulat itu dalam tempoh 18 hingga 24 bulan.
“Penarafan ke atas Maybank, CIMB Bank dan Public Bank akan terus ditutup oleh penarafan kredit berdaulat kami kerana kami tidak menjangkakan bank-bank itu mampu bertahan dengan tekanan yang dikaitkan dengan kemungkiran kredit berdaulat.
“Penarafan kami ke atas bank-bank tersebut maka itu, bergerak seiring dengan apa yang ada pada kredit berdaulat,’’ katanya.
Sementara itu, penarafan S&P ke atas RHB Bank dan AmBank berkemungkinan lebih rendah jika berlaku penurunan taraf kredit berdaulat atau penghakisan di dalam profail kredit berdiri sendiri (SACP). – DagangNews.com