KUALA LUMPUR 30 Ogos - SP Setia Berhad telah diberi penghormatan buat kali ke-11 sebagai salah satu 10 Pemaju Terbaik di BCI Asia Awards 2022, baru-baru ini.
Hadir menerima anugerah itu ialah Naib Presiden Eksekutif SP Setia Berhad, Datuk Tan Hon Lim, yang menerima penghormatan daripada Pengurus Besar Emerging Pasaran Asia BCI Central, Pietter Sanjaya.
Ia turut disertai Pengurus Besar BCI Central Malaysia, Kok Sook Leng dan Pengurus Besar Jotun, Kenny Bi.
Tan menyifatkan pencapaian penting ini sebagai bukti kepada komitmen SP Setia dalam membina kediaman yang menyokong gaya hidup holistik dan mampan berpaksikan falsafah pembangunan 'LiveLearnWorkPlay'.
“Pengiktirafan berterusan daripada BCI Asia sebagai salah satu pemaju hartanah terkemuka untuk dekad yang lalu adalah satu penghormatan bagi SP Setia.
"Ini kerana kami kekal di barisan hadapan menyampaikan produk yang inovatif dan relevan untuk memenuhi keperluan pembeli rumah semasa sambil kekal selaras dengan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BCI Asia Awards Top 10 Developers mengiktiraf pemaju hartanah yang terhebat dengan nilai agregat projek dalam pembinaan mengikut kemampanan dan penilaian bangunan hijau yang disahkan.
Kemenangan ini menandakan anugerah 10 Pemaju Terbaik BCI Asia Awards ke-11 untuk kumpulan. - DagangNews.com