SP Setia, Mitsui Fudosan bangunkan projek dengan nilai pembangunan kasar RM1.4 bilion di Bukit Persekutuan Setia | DagangNews Skip to main content

SP Setia, Mitsui Fudosan bangunkan projek dengan nilai pembangunan kasar RM1.4 bilion di Bukit Persekutuan Setia

(Dari kiri) Ketua Pegawai Operasi SP Setia, Datuk Zaini Yusoff; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Choong Kai Wai; Pengarah Urusan Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia, Masayoshi Saito; dan Timbalan Pengurus Besar Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia, Aritaka Yamagata.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 Dis - SP Setia Bhd telah bekerjasama dengan Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia Sdn Bhd untuk membangunkan dua bidang tanah komersial utama dengan nilai pembangunan kasar RM1.4 bilion di Bukit Persekutuan Setia, Bangsar.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, pemaju hartanah itu berkata usaha sama terbabit merupakan peluang besar untuknya mengembangkan kehadiran dan bertapak kukuh di daerah Bangsar.

 

Projek di tanah berkeluasan 1.08 hektar itu akan terdiri daripada dua menara kediaman yang mempunyai kira-kira 1,300 unit dengan menara pertama dijadualkan untuk dilancarkan tahun depan.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Choong Kai Wai berkata kerjasama itu bukan sahaja akan memperkukuh profil projek tetapi juga menyediakan peluang luar biasa untuk Setia memasarkan kepada pelanggan antarabangsa.

 

"Dengan gabungan kepakaran dan rekod prestasi mereka yang terbukti, usaha sama itu bersedia untuk membuka potensi penuh pembangunan dan mentakrifkan semula bangunan pencakar langit Bukit Persekutuan Setia," katanya.

 

Bukit Persekutuan Setia merupakan pembangunan berprestij yang terletak di kawasan utama Bangsar, Kuala Lumpur dengan keluasan 20.9 hektar, yang terletak secara strategik bertentangan dengan KL Sentral, hab pengangkutan bersepadu terbesar di Malaysia.

 

Projek itu dijangka menikmati pertumbuhan hartanah yang kukuh di tengah-tengah Kuala Lumpur dan sangat diingini dalam kalangan pembeli rumah dan pelabur yang arif.

 

"Dengan menggabungkan kekuatan dan kepakaran kedua-dua syarikat, kami yakin usaha sama ini akan membuka jalan kepada pembangunan yang luar biasa di Bukit Persekutuan Setia,” tambah Choong.  - DagangNews.com