Spark Engage Maxis Business 'cabar' perniagaan untuk berinovasi | DagangNews Skip to main content

Spark Engage Maxis Business 'cabar' perniagaan untuk berinovasi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Mac - Siri Spark Engage Maxis Business kembali dengan Forum Spark Engage, menampilkan sesi perbincangan panel berhubung kepentingan untuk berinovasi dalam landskap persaingan semasa menjelang 25 Mac depan.

 

Bertemakan 'Inovate to Accelerate', forum itu bertujuan memberi inspirasi kepada perniagaan melalui wawasan dan pengalaman sebenar pemimpin perniagaan di pelbagai industri.

 

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Paul McManus berkata, melalui penglibatan berterusan pihaknya dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan, mereka telah mengenal pasti bidang-bidang yang bermanfaat.

 

Paul McManus
Paul McManus

 

"Kami gembira dapat membawa siri Spark Engage kami untuk tahun ketiga berturut-turut dengan kejayaan berterusan, hasil daripada sambutan yang luar biasa. 

 

“Kami benar-benar percaya bahawa inovasi penting bagi perniagaan untuk terus menerajui dalam dunia yang berubah. 

 

“Kami berharap dapat memberi inspirasi kepada perniagaan untuk mencapai daya tahan dalam mempercepat ekonomi digital ini,” kata McManus dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Forum itu bakal menampilkan pakar industri seperti Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo; Pengarah Eksekutif Kumpulan Mamee-Double Decker, Pierre Pang;  Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir; Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading, Shairan Huzani Husain; dan Ketua Jenama dan Pemasaran Maxis, Tai Kam Leong. 

 

Spark Engage juga menampilkan penceramah utama, Kaihan Krippendorff, seorang usahawan, perunding dan Ketua Pegawai Eksekutif Outthinker yang memberi komitmen tinggi untuk membantu organisasi dan individu berkembang dalam era digital. 

 

Beliau akan berkongsi cara perniagaan, 'Membuka Pemikiran Inovatif dalam Kepimpinan Perniagaan' dengan pandangan relevan, praktikal dan mudah dicapai untuk digunakan peserta dalam digital transformasi mereka sendiri, kata Maxis.

 

Untuk mengetahui lebih lanjut serta pendaftaran bagi Spark Engage Maxis Business, layari www.maxis.com.my/spark . - DagangNews.com