SPCAAM bidas reaksi Tony Fernandes isu Singapore Airlines, dakwa majikan Malaysia raih manfaat sistem berat sebelah  | DagangNews Skip to main content

SPCAAM bidas reaksi Tony Fernandes isu Singapore Airlines, dakwa majikan Malaysia raih manfaat sistem berat sebelah 

Gambar hiasan MAB Engineering.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 17 Sept - Reaksi segelintir pihak dalam isu Malaysia Airlines kehilangan kakitangan kejuruteraan kepada SIA Engineering Co Ltd (SIAEC) mencerminkan bagaimana majikan Malaysia telah mendapat manfaat daripada sistem yang berat sebelah.

 

Penasihat Buruh Antarabangsa Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Callistus Antony D'Angelus  juga pada masa sama turut mempersoalkan mengapa SIAEC perlu mendedahkan apa-apa butiran seperti dimahukan Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes.

 

Pengasas AirAsia itu pada Jumaat lalu telah menyeru agar lebih banyak ketelusan dengan meminta SIAEC mendedahkan lebih banyak butiran termasuk gaji dan cara pengambilan pekerja dilakukan.

 

"Mengapa SIAEC perlu mendedahkan apa-apa kepada Fernandes atau sesiapa sahaja? Apa hak mana-mana syarikat lain untuk menyiasat amalan SIAEC?

 

"Adakah SIAEC terlibat dalam apa-apa aktiviti yang tidak sah?," soal D'Angelus dalam kenyataan medianya hari ini.

 

Menurut beliau, apa yang perlu dihadapi oleh Tony Fernandes adalah bahawa SIAEC telah berjaya menarik pekerja ke dalam organisasi mereka.

 

"Jika Malaysia Airlines atau mana-mana syarikat lain kehilangan pekerja kepada (SIAEC), mereka seharusnya meningkatkan usaha untuk menarik dan mengekalkan pekerja.

 

"Majikan Malaysia telah menikmati kelebihan dalam hal ini, di mana sistem membolehkan mereka menekan tahap gaji melalui pelbagai cara dan mekanisme serta membenarkan eksploitasi sistemik terhadap tenaga kerja Malaysia," jelasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tony Fernandes gesa SIA telus sepenuhnya isu pengambilan staf kejuruteraan Malaysia Airlines

 

spc
Callistus Antony D'Angelus

 

Kata D'Angelus, reaksi dalam isu Malaysia Airlines kehilangan pekerja kepada SIAEC menunjukkan tiada majikan yang perlu membayar lebih tinggi dan memberikan layanan yang lebih baik kepada pekerja, hanya untuk memastikan tahap gaji kekal rendah dan amalan pekerjaan yang mengeksploitasi terus berlanjutan.

 

"Malaysia Airlines seharusnya melihat ke dalam diri sendiri dan menilai mengapa ia tidak berjaya mengekalkan pekerja, bukannya menyalahkan syarikat yang telah melakukan perkara yang betul untuk perniagaan mereka yang seterusnya memberi manfaat kepada pekerja Malaysia dan ekonomi Malaysia.

 

"Jika Tony Fernandes mempunyai masalah dengan kerajaan Singapura mengenai kebenaran untuk menjalankan perniagaan di Singapura, beliau seharusnya menghadapinya secara berasingan dengan kerajaan Singapura dan tidak mengaitkan isu-isu tersebut," tegasnya.

 

Tambah D'Angelus, majikan Malaysia telah diberi keistimewaan dan hak yang melampau, sehingga merugikan pekerja Malaysia.

 

"Tahap gaji minimum tidak menghampiri tahap gaji hidup yang wajar. Perniagaan tidak boleh mengharapkan untuk berkembang sementara pekerja Malaysia tidak memperoleh gaji hidup," ujarnya.

 

SIA Engineering Co Ltd (SIAEC), cabang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) Singapore Airlines Ltd Khamis lalu berkata, tidak sampai 10% pekerja baharunya di negara ini datang daripada cabang kejuruteraan Malaysia Airlines.

 

Naib Presiden Kanan penyelenggaraan pangkalannya Jeremy Yew menjawab dakwaan baru-baru ini bahawa pemergian 63 daripada 411 jurutera dari Perkhidmatan Kejuruteraan MAB ke SIAEC sebahagiannya dipersalahkan atas gangguan penerbangan Malaysia Airlines. - DagangNews.com