SPCAAM gesa kesatuan sekerja diberi peranan menyeluruh bagi elak penyelewengan, salah laku | DagangNews Skip to main content

SPCAAM gesa kesatuan sekerja diberi peranan menyeluruh bagi elak penyelewengan, salah laku

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 6 Jan - Persataun Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) menggesa kesatuan sekerja diberi peranan menyeluruh di bawah konsep sistem tadbir urus tiga pihak dalam pelaksanaan dasar pembangunan kerajaan bagi mengelakkan penyelewengan dan salah laku. 

 

Setiausaha Agung SPCAAM, A. Karuna berkata, ini merupakan perkara serius kerana kesemua rancangan kerajaan melibatkan pengurusan dana awam.

 

"Perlu ada langkah tadbir urus yang lebih ketat untuk memastikan tidak akan berlaku penyelewengan atau salah laku yang melibatkan dana dan aset awam," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata demikian susulan daripada Persidangan Buruh Antarabangsa (ILO) ke-109 yang dimuktamadkan pada 11 Disember tahun lepas dengan gesaan ILO peranan organisasi pekerja dalam tadbir urus tiga pihak mesti diberi lebih penekanan dalam dasar pembangunan kerajaan dan perlu diamalkan.

 

Selain itu, persidangan menggesa negara-negara anggota ILO membangunkan strategi baharu bagi menangani ketidaksamaan dan meningkatkan kemahiran serta pembelajaran sepanjang hayat.

workers

Karuna berkata, pada masa ini kerajaan mahupun majikan kelihatan tidak berminat untuk terlibat dengan pemimpin kesatuan sekerja mengenai isu-isu utama ini.

 

Jelasnya, tanggungjawab terletak di pihak kerajaan dalam memastikan bahawa dalam rancangan pembangunan mereka, majikan wajib menyediakan sumber yang diperlukan untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran pekerja supaya mereka kekal relevan dalam pasaran buruh.

 

"Majikan mesti mengamalkan pendekatan kemanusiaan dan mesti melabur dalam melatih semula pekerja mereka. Ia adalah pelaburan yang akan menghasilkan pulangan pada masa hadapan.

 

"Pandemik COVID-19 memburukkan lagi ketidaksamaan pendapatan di Malaysia, menjejaskan pekerjaan kumpulan paling lemah dari segi ekonomi yang merupakan kumpulan penduduk terbesar," katanya.

worker

Beliau berkata, ini adalah faktor yang berkait rapat dengan maruah manusia, keadilan sosial dan pembangunan mampan. 

 

"Menghormati hak buruh, menggalakkan gaji yang adil (gaji hidup) dan keadaan kerja, serta strategi perlindungan sosial yang berkesan tidak boleh dikompromi lagi," katanya.

 

Dalam perkembangan sama, Karuna berkata, kemerosotan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi kebanyakan rakyat yang tidak mampu untuk bersara dengan kondusif, semata-mata kerana persaraan mereka akan menyebabkan mereka terdedah kepada kemiskinan, tidak boleh dipandang remeh.

 

"Kerajaan tidak boleh menganggap KWSP sebagai hab wang tunai dan membenarkan pengeluaran secara berterusan atas nama rangsangan ekonomi.

 

"Kerajaan mesti menyedari bahawa untuk membasmi kemiskinan dan mencapai masa depan lebih mampan untuk semua pekerja di Malaysia, ia mesti memastikan bahawa perlindungan sosial adalah keutamaan sosial, ekonomi dan politik," katanya.

 

Katanaya, terlalu kerap kerajaan membentangkan rancangan bercita-cita tinggi yang gagal mencapai matlamat disasarkan disebabkan pelaksanaan dan pemantauan yang lemah.

 

Tambah beliau, SPCAAM menyeru wakil kerajaan, pekerja dan majikan di dalam Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) agar mengkaji secara serius tindakan untuk mewujudkan pemulihan berpaksikan manusia daripada impak sosial dan ekonomi yang diakibatkan COVID-19 secepat mungkin. - DagangNews.com