SPRM buru warga Singapura disyaki dalang penyeludupan Pelabuhan Klang | DagangNews Skip to main content

SPRM buru warga Singapura disyaki dalang penyeludupan Pelabuhan Klang

KUALA LUMPUR 7 Jun – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang memburu seorang warga Singapura yang dipercayai menjadi dalang di sebalik kumpulan penyeludupan di Pelabuhan Klang yang mengelak cukai sebanyak RM3.5 bilion dalam tempoh sedekad.

 

“Dalang itu sedang bercuti di luar negara bersama keluarganya,” kata sumber kepada The New Straits Times.

 

Sumber itu berkata, SPRM telah membekukan sembilan akaun bank milik syarikat yang terlibat dalam kumpulan penyeludupan dan individu yang mempunyai kaitan dengan sindiket itu.

 

 

Terdahulu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan penahanan tujuh orang termasuk tiga pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia berhubung kumpulan penyeludupan itu.

 

 

Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya
                              Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya

 

 

Orang lain yang ditahan termasuk pengarah urusan dan tiga pekerja sebuah syarikat.

 

SPRM telah mendapatkan perintah reman untuk kesemua tujuh suspek. Suspek berusia 30-an hingga 50-an ditahan reman selama tiga hari.

 

Penangkapan itu susulan tindakan pihak berkuasa melumpuhkan sindiket yang beroperasi di Pelabuhan Klang selama lebih sedekad.

 

Sindiket yang dipercayai didalangi warga asing itu mengendalikan lebih 10 syarikat penghantar untuk menyeludup barangan import dengan membuat pengisytiharan cukai palsu.

 

Pihak berkuasa menganggarkan sindiket itu mengendalikan sekitar 3,000 kontena sebulan.

 

Pada hari Rabu, dilaporkan pihak berkuasa menemui barangan bercukai termasuk lampu LED dan solar serta daging babi dalam tin dalam bekas yang diisytiharkan sebagai mengandungi kerusi roda dan komod.

 

Selain boleh dikenakan cukai, barangan yang diseludup masuk memerlukan permit import daripada beberapa badan termasuk Suruhanjaya Tenaga dan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

 

Siasatan sedang dijalankan di bawah Akta SPRM, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Akta Kastam dan beberapa undang-undang lain di bawah bidang kuasa Lembaga Hasil Dalam Negeri. - DagangNews.com