SPRM sanggah kenyataan Justin Lim Hwa Tat dakwa tidak terima notis bantu siasatan | DagangNews Skip to main content

SPRM sanggah kenyataan Justin Lim Hwa Tat dakwa tidak terima notis bantu siasatan

SPRM berusaha mengesan Justin Lim dengan pergi ke dua buah kediamannya di Kuala Lumpur pada 26 Jun untuk menyerahkan notis. - Gambar ihsan Tatler Malaysia

KUALA LUMPUR 24 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan mengatakan suruhanjaya itu tidak mengeluarkan sebarang notis kepada Ketua Pegawai Eksekutif Sersol Bhd, Datuk Justin Lim Hwa Tat, untuk tampil membantu kes siasatan SPRM.

 

SPRM berkata, pihaknya telah berusaha mengesan Lim dengan pergi ke dua buah kediamannya di Kuala Lumpur pada 26 Jun untuk menyerahkan notis, namun salah sebuah premis tersebut telah dijual manakala sebuah lagi tidak dihuni olehnya.

 

Pada hari sama (26 Jun), SPRM juga telah pergi ke pejabatnya di ibu negara dan Johor, namun Lim tiada di lokasi tersebut.

 

Menurut kenyataan tersebut, hasil semakan dengan Jabatan Imigresen juga mendapati Lim telah meninggalkan negara pada Februari lepas, serta tiada rekod masuk kembali ke negara ini.

 

“Sehubungan itu, SPRM telah mengeluarkan kenyataan media pada 12 Julai 2023 yang lengkap dengan nombor telefon serta emel pegawai penyiasat bagi mengesan Justin (Lim) dan kenyataan itu merupakan notis yang rasmi dan sah,” menurut kenyataan SPRM.

 

ARTIKEL BERKAITAN: CEO Sersol, Justin Lim nafi terima sebarang notis daripada SPRM, sedia beri kerjasama

 

Sabtu lalu, Lim dalam satu kenyataan mendakwa beliau tidak mendapat sebarang notis daripada SPRM selepas menyenaraikan dirinya sebagai individu yang dikehendaki bagi membantu dalam siasatan.

 

Dalam kenyataan tersebut, Lim menyatakan kesediaannya untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam mana-mana perkara di mana bantuannya diperlukan.

 

Lim juga dilaporkan berkata melantik Tetuan Gobind Singh Deo & Co untuk mewakili dirinya sebagai wakil undang-undang semasa proses siasatan. - DagangNews.com