Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 25 Sept. - Sebagai usaha memastikan pendidikan pelajar Malaysia yang kurang bernasib baik diteruskan, Standard Chartered Malaysia menyalurkan bantuan kewangan bernilai RM1,404,000.
Sebanyak RM1 juta disalurkan kepada pertubuhan Teach For Malaysia (TFM) dan selebihnya disumbangkan kepada Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita Dan Gadis (WOMEN:girls).
Penyerahan bantuan itu disaksikan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, hari ini.
Mengulas mengenai bantuan berkenaan, Tengku Zafrul memuji komitmen Standard Chartered Malaysia dalam menyediakan sokongan pendidikan kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan pembelajaran terbaik.
“Pandemik COVID-19 telah menyebabkan gangguan sistem pendidikan terbesar dalam sejarah Malaysia dan dunia. Ketika waktu sukar ini, kami berterima kasih kepada Standard Chartered atas usaha mereka membantu golongan kurang bernasib baik untuk mendapatkan bantuan sewajarnya.
“Nilai daripada kerjasama awam dan swasta sedang meningkat dan melabur dalam sektor pendidikan merupakan salah satu cara untuk melengkapi dan memperkasa generasi pemimpin seterusnya untuk membangunkan ekonomi berdaya tahan,” katanya.
Sumbangan itu melengkapkan bantuan kewangan bernilai RM2.36 juta oleh bank berkenaan dalam menawarkan bantuan kepada komuniti yang terjejas akibat COVID-19.
Sejak April lalu, Standard Chartered Malaysia telah menyumbang sebanyak RM500,00 kepada MERCY Malaysia menerusi inisiatif Persatuan Bank Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Abrar A. Anwar berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban terutamanya keluarga yang kurang berkemampuan dan memastikan kanak-kanak menerima pendidikan.
“Kami di Standard Chartered Malaysia ingin melakukan apa yang boleh untuk menyokong komuniti dan memainkan peranan sebagai institusi yang bertanggungjawab dalam pasaran ini.
“Walaupun pelajar kembali ke sekolah, namun keperluan kebiasaan baharu bertambah dengan potensi kerugian ekonomi dapat menimbulkan kebimbangan terhadap kesejahteraan sosial-emosi pelajar,” jelas beliau. - DagangNews.com