Standard Chartered unjur KDNK Malaysia naik kepada 4.8% di sebalik ketidaktentuan global | DagangNews Skip to main content

Standard Chartered unjur KDNK Malaysia naik kepada 4.8% di sebalik ketidaktentuan global

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 Jan - Standard Chartered mengunjurkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia  meningkat kepada 4.8 peratus pada 2024, berbanding 4.3 peratus tahun lalu.

 

Menurut laporan The Global Focus 2024 terbitan bank itu, permintaan domestik yang lebih kukuh akan menjadi pemacu utama kepada peningkatan KDNK Malaysia pada tahun ini.

 

Menerusi laporan itu, Standard Chartered menjangkakan ekonomi Malaysia kekal stabil dengan perkembangan berlaku secara sederhana di sebalik ketidaktentuan di peringkat global.

 

"Permintaan luar mungkin berdepan cabaran akibat dasar monetari global yang ketat dan kemalapan pertumbuhan negara China.

 

"Bagaimanapun Standard Chartered menjangkakan kitaran elektronik boleh memberikan sedikit kelegaan. Eksport Malaysia juga mempunyai kepelbagaian yang baik," katanya.

 

Laporan tersebut juga pada masa sama menjangkakan perbelanjaan pengguna pada 2024 mungkin akan lebih perlahan meski pun kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama kepada Malaysia.

 

"Perbelanjaan pengguna mungkin akan perlahan andai subsidi dimansuhkan," kata Standard Chartered.

 

scb
Liew Chin Tong pada sesi taklimat Laporan The Global Focus 2024 oleh Standard Chartered di ibu negara hari ini. 

 

Bank itu juga menjangkakan inflasi teras kekal sederhana dan Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalam (OPR) pada 3.0 peratus tahun ini.

 

Kata bank itu, pada tahap ini, BNM melihat pendirian dasar monetari sebagai menyokong pertumbuhan yang mungkin akan perlahan pada separuh pertama 2024.

 

Risiko kepada ramalan ini adalah jika pertumbuhan ekonomi lebih kukuh daripada jangkaan yang menyebabkan sebarang pemansuhan subsidi membawa kepada pusingan kedua kesan inflasi, meningkatkan inflasi teras dan mengakibatkan kawalan lebih ketat oleh BNM.

 

Standard Chartered juga menjangkakan sektor awam akan terus menerajui dan merancakkan pertumbuhan pelaburan di Malaysia, antaranya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek rangkaian 5G.

 

ecrl

 

 

Pelaburan ektor swasta pula mungkin lebih perlahan berikutan kos pembiayaan yang tinggi, kata laporan itu.

 

Laporan itu juga menyebut Ringgit Malaysia dijangka mengatasi prestasi serantau pada 2024 selepas apa yang berlaku pada 2023.

Ketua Pakar Ekonomi ASEAN dan Asia Selatan bank itu, Edward Lee berkata, dalam ketidaktentuan global yang dijangkakan pada 2024, Ringgit Malaysia sebenarnya mungkin mendapat manfaat terutamanya jika pembetulan dolar Amerika Syarikat (AS) kekal dalam pertumbuhan ekonomi AS yang lebih perlahan. 

 

"Malaysia dijangka mempunyai tahun yang stabil kerana permintaan domestik dan perbelanjaan pengguna akan menjadi faktor penting dalam memacu prestasi pertumbuhan tahun ini,” katanya.

 

Edward turut menyampaikan taklimat berhubung laporan tersebut yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong di sini hari ini.

 

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Mak Joon Nien. - DagangNews.com