Standard dan jurang maklumat iklim fokus utama JC3 ke arah kewangan hijau | DagangNews Skip to main content

Standard dan jurang maklumat iklim fokus utama JC3 ke arah kewangan hijau

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) berhasrat untuk memperluas penggunaan standard oleh Pasukan Petugas Mengenai Pendedahan Kewangan Berkaitan Iklim (TCFD) ke arah penerapan pendedahan iklim dalam kalangan pemain industri. 

Menurut kenyataan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), JC3 juga bersetuju untuk membangunkan langkah-langkah bagi mengatasi jurang antara maklumat iklim dengan maklumat berkaitan alam sekitar yang wujud ketika ini sebagai sebahagian daripada pelan kerja masa hadapan jawatankuasa itu. 

“Hal ini perlu bagi menyokong pengurusan risiko dan penyelesaian produk oleh para penyedia perkhidmatan kewangan. Ahli mesyuarat menegaskan betapa pentingnya pengurusan perubahan iklim memandangkan risiko dan impak sistemik ketara yang disebabkan oleh peristiwa iklim boleh memberikan kesan terhadap kehidupan dan punca pendapatan. 

“Pandemik COVID-19 yang berlaku ketika ini telah memperlihatkan kesan yang sangat luas daripada peristiwa global yang serupa, dengan kejutan permintaan dan penawaran yang merebak merentasi sempadan. 

“Hal ini telah meningkatkan keyakinan bahawa kerja-kerja JC3 patut disegerakan demi menyokong usaha membangunkan daya tahan terhadap iklim dan peristiwa yang berkaitan dengan alam sekitar, serta menjamin peralihan yang teratur ke arah ekonomi yang lebih mampan,” kata kedua-dua institusi tersebut. 

Semalam, JC3 mengadakan mesyuaratnya yang ketiga bagi membincangkan kemajuan inisiatif di bawah empat jawatankuasa kecilnya iaitu Pengurusan Risiko; Tadbir Urus dan Pendedahan; Produk dan Inovasi; dan Keterlibatan dan Pembinaan Keupayaan serta fokus keutamaan untuk 12 bulan yang akan datang.

Mesyuarat itu juga membincangkan hasil kerja jawatankuasa kecil yang telah disiapkan pada tahun ini dan kerja-kerja yang akan dijalankan.pada masa hadapan.

Antaranya termasuk dapatan komen dan saranan daripada lebih 80 institusi menerusi konsultasi awam ke atas Kertas Perbincangan BNM mengenai Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip.

Selain itu, Ahli mesyuarat membincangkan hasil penilaian yang dilakukan terhadap amalan pendedahan berkaitan iklim bagi kesemua sampel institusi kewangan yang beroperasi di Malaysia berdasarkan saranan TCFD.

“Ahli mesyuarat bertukar-tukar pandangan mengenai keadaan permintaan dan penawaran yang membentuk landskap kewangan hijau semasa di Malaysia. Cabaran utama yang dikenal pasti oleh para peserta sektor kewangan termasuklah kekurangan dan fragmentasi maklumat, jurang pengetahuan teknologi, masalah koordinasi dan kekaburan terhadap strategi kebangsaan. 

“Bagi meneruskan usaha keterlibatan dan membina keupayaan JC3, tiga program kesedaran dan pendidikan diatur walaupun terdapat kekangan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” tambah kenyataan itu. 

Program itu mengumpulkan para penyedia perkhidmatan kewangan, kementerian dan agensi kerajaan, institusi pendidikan, badan perniagaan korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk berkongsi pengalaman, mengembangkan pengetahuan teknikal dan membangunkan jaringan dalam bidang yang berkaitan dengan risiko iklim. 

Sejak tahun lalu, BNM dan SC bertanggungjawab untuk mengetuai JC3 bagi merancakkan sektor kewangan ke arah ekonomi rendah karbon. - DagangNews.com