Starbucks, KRR akan terus pacu pendapatan Berjaya Food pada masa akan datang | DagangNews Skip to main content

Starbucks, KRR akan terus pacu pendapatan Berjaya Food pada masa akan datang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Feb - Inovasi baharu yang diperkenalkan Berjaya Food Berhad di Starbucks dan Kenny Roger Roaster (KRR) akan terus memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan pendapatan kumpulan itu pada masa akan datang.

 

CGS-CIMB Research berkata, kedua-dua jenama itu mencatatkan pertumbuhan positif dua digit menerusi jualan di kedai yang sama (SSSG) selepas pengenalan minuman berasaskan tumbuhan selain jualan barangan berinspirasikan jenama di Stabucks dan pengenalan menu baharu di KRR.

 

Katanya, pendekatan yang digunakan itu akan meningkatkan saiz transaksi dan membantu perkembangan margin kumpulan.

 

"Sehingga kini, Starbucks memiliki 347 cawangan manakala KRR Malaysia memiliki 69 cawangan dan pada penghujung suku kedua tahun kewangan 2022 (2QFY22), kumpulan itu dijangka membuka 12 cawangan baharu Starbucks.

 

"Pembukaan cawangan itu akan memenuhi sasaran pembukaan 35 hingga 40 cawangan baharu Starbucks pada FY22F," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Berjaya Food mencatatkan keuntungan hampir tiga kali ganda iaitu RM38.6 juta pada suku kedua tahun kewangan yang berkahir pada Jun 2022 (2QFY6/22) berbanding RM13.1 juta pada 2QFY6/21.

 

berjaya

 

Peningkatan itu dipercayai berpunca daripada pembukaan semula sektor ekonomi sejak 11 Oktober 2021 selain peningkatan permintaan pada musim perayaan seperti Hari Krismas. 

 

"Pendapatan kumpulan bagi 1HFY6/22 meningkat lebih dua kali ganda sebanyak RM50.5 juta (peningkatan sebanyak 103%), mengatasi jangkaan awal sekitar 83% dan 87% untuk tahun kewangan 2022 (FY22).

 

"Pada masa hadapan, kami menjangkakan momentum pendapatan kumpulan untuk 2HFY6/22 akan terus meningkat terutama semasa sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengulangi saranan 'tambah' dengan jangkaan nilai sebanyak RM4.40 sesaham, kesan daripada pemintaan tinggi daripada pengguna. - DagangNews.com