Status PN17 Capital A masih membimbangkan di sebalik pemulihan sektor penerbangan | DagangNews Skip to main content

Status PN17 Capital A masih membimbangkan di sebalik pemulihan sektor penerbangan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 6 Sept - Kebimbangan mengenai status Nota Amalan 17 (PN17) yang dihadapi Capital A Bhd. masih mempengaruhi sentimen kumpulan meskipun prospek pemulihan sektor penerbangan semakin cerah.

 

Namun, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mendapati pelan penyusunan semula sedang dimuktamadkan dan akan diserahkan kepada Bursa Malaysia tidak lama lagi (tarikh akhir pada Januari 2023).

 

"Walaupun kekurangan butiran, kami optimis dengan pelan penstrukturan semula Capital A kerana pihak pengurusan berjaya meyakinkan juruaudit E&Y mengenai keupayaan aliran tunai kumpulan untuk dua tahun akan datang, yang mana HLIB mengunjurkan aliran tunai positif dalam tempoh sama.

 

"Merujuk kepada panduan pengurusan, di mana peningkatan ekuiti baharu bukan sebahagian daripada pelan ini, kami juga tidak terlalu bimbang tentang risiko pencairan.

 

"Mengenai status PN17nya, kami berpendapat sentimen lemah di Capital A akan berubah apabila pelan penyusunan semula diluluskan bursa, menyaksikan peluang berorientasikan dagangan jangka pendek," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu mendapati pemulihan permintaan pengangkutan udara di peringkat serantau kekal berada dalam landasan memandangkan negara-negara ASEAN telah melonggarkan keperluan rentas sempadan.

 

Ini menyaksikan AirAsia Malaysia mencatat pertumbuhan 20 mata peratus dari segi faktor muatan untuk mencapai 84% manakala jumlah penumpang yang dibawa meningkat 1,276% kepada 3.8 juta penumpang.

 

Pada masa sama, AirAsia Indonesia dan Filipina juga masing-masing merekodkan peningkatan faktor muatan sebanyak 77% dan 93%. 

 

Menjejaki permintaan penerbangan udara yang semakin pulih, Capital A sedang berusaha meningkatkan operasi pesawatnya daripada 108 unit kepada 157 unit menjelang akhir Disember ini, dengan kapasiti keseluruhan dijangka mencapai 60 hingga 90% daripada tahap sebelum pandemik.

 

Pada masa sama, menurut HLIB, platform digitalnya (ADE, AirAsia.com, Teleport, BigPay) terus mendapat daya tarikan dengan hasil lebih tinggi dan asas pelanggan apabila kumpulan mengembangkan jangkauan pasaran.

 

"ADE kekal menguntungkan disebabkan permintaan tinggi untuk perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO), manakala SuperApp berjaya merekodkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang positif dengan momentum pertumbuhan berterusan MAU dan urus niaga pada suku kedua 2022," jelasnya.

 

Capital A mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM931.22 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM580.06 juta pada suku yang sama tahun lalu disebabkan kerugian pertukaran asing berjumlah RM480.3 juta.

 

Perolehan melonjak kepada RM1.47 bilion daripada RM388.91 juta untuk suku kedua sebelumnya dan RM2.278 bilion setakat ini hasil daripada perjalanan udara yang bertambah baik pada tempoh terbabit.

 

Setakat 9.59 pagi ini, harga saham Capital A menokok 1 sen atau 1.65% kepada 61.5 sen dengan 381,700 saham diniagakan. - DagangNews.com