Status tanah 'pengajian tinggi' bertukar kepada 'industri', UiTM didenda RM14.7 juta | DagangNews Skip to main content

Status tanah 'pengajian tinggi' bertukar kepada 'industri', UiTM didenda RM14.7 juta

UiTM Solar Park 1, Gambang, Pahang.

KUALA LUMPUR 21 Dis - Universiti Teknologi Mara (UiTM) didenda RM14.7 juta kerana melanggar syarat pemilikan tanah bagi melaksanakan Projek UiTM Solar Park 1 di Gambang, Pahang.

 

Denda berkenaan dikenakan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuantan selepas UiTM memohon menukar status penggunaan tanah daripada ‘pengajian tinggi’ kepada ‘perindustrian’ dilaksanakan sayap pelaburannya iaitu UiTM Holdings Sdn Bhd sejak 2019. 

 

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) sebelum ini, tanah berkeluasan 121 hektar itu dikurniakan kepada UiTM secara bersyarat dan geran tanah tersebut jelas menyatakan untuk 'pengajian tinggi' dan bukan untuk pembangunan projek solar.

 

Daripada projek tersebut, ia turut menimbulkan keraguan berhubung penerbitan sukuk bagi suntikan modal terhadap projek yang dianggarkan hampir RM300 juta sama ada dibuat melalui UiTM Holdings atau UiTM sendiri apabila tanah tersebut didakwa tidak boleh dicagarkan.

 

Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Aida Munira Abdul Rafar berkata, proses nilaian denda itu selesai dengan universiti terbesar negara dengan 34 kampus cawangan diberi notis untuk bayaran sejumlah RM14.7 juta.

 

"PDT Kuantan mencadangkan agar denda itu dibayar secara ansuran termasuk cukai sehingga Disember 2024.

 

"Bagaimanapun, sehingga kini kami masih belum menerima bayaran atau makluman daripada UiTM. Kami akan kemukan notis tuntutan kepada mereka pada tahun hadapan," katanya, lapor Utusan Malaysia.

 

Sementara itu, Naib Canselor UiTM Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin berkata, buat masa ini institusi itu tidak membayar denda seperti didedahkan LKAN tetapi mengemukakan kaedah pembayaran lain bagi menyelesaikan denda itu kepada PDT.

 

Beliau berkata, pihaknya mempunyai kaedah lain dan sedang berhubung semula dengan pihak berkuasa negeri tetapi enggan mendedahkan secara terperinci berhubung perkara itu agar tidak menimbulkan kerugian kepada universiti.

 

"Status tanah pun sama, di pihak kami sudah ada jalan penyelesaian ia melibatkan kami dan pejabat tanak sendiri," katanya.

 

Dr. Shahrin juga enggan memperincikan berhubung penerbitan sukuk sebagai suntikan modal bagi melaksanakan projek berkenaan.

 

Pada masa sama, beliau berkata, satu jawatankuasa khas diwujudkan bagi menyelesaikan krisis yang timbul dalam sayap pelaburan UiTM selepas masalah itu ditimbulkan dalam laporan sama.- DagangNews.com