Stella umum perubahan dalam lembaga pengarah, Lau Beng Wei dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif | DagangNews Skip to main content

Stella umum perubahan dalam lembaga pengarah, Lau Beng Wei dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 Jan - Stella Holdings Bhd. mengumumkan beberapa perubahan dalam kedudukan lembaga pengarahnya yang menyaksikan Datuk Lau Beng Wei dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif berkuat kuasa hari ini. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata, Beng Wei ialah abang kepada pengarah urusan, Datuk Lau Beng Sin dan pemegang saham utama kumpulan itu.

 

Beng Wei memiliki kepentingan langsung sebanyak 15.01 juta saham atau 22.4% dan kepentingan tidak langsung sebanyak 8.11 juta saham (12.11%) dalam Stella. 

 

Beliau memulakan karier di Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dengan memegang pelbagai jawatan di syarikat utiliti itu bagi tempoh 1990 hingga 2003 dan dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif berkuat kuasa 1 Disember 2021.

 

 

Lau Beng Wei
Lau Beng Wei

 

 

Sementara itu, dalam beberapa pengumuman berasingan, Stella turut melantik Manivannan Ganapathy sebagai pengarah eksekutif berkuat kuasa 17 Januari 2023 manakala Datuk Jamaluddin Sabeh sebagai pengarah bebas berkuat kuasa 13 Januari 2023.

 

Kumpulan juga mengumumkan beberapa siri peletakan jawatan termasuk Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin, yang meletak jawatan sebagai pengerusi bukan eksekutif, berkuat kuasa 14 Januari 2023 untuk meneruskan kepentingan lain.

 

Mohamad Nor Abas meletak jawatan sebagai pengarah bebas manakala Datuk Seri Lee Tian Hock meletak jawatan sebagai pengarah bukan eksekutif bukan bebas berkuat kuasa 14 Januari 2023. Mohamad Nor juga tidak lagi menjadi ahli jawatankuasa audit dan risiko. - DagangNews.com