Stellantis Malaysia mula beroperasi, bakal lancar Peugeot 408 pada suku kedua tahun ini | DagangNews Skip to main content

Stellantis Malaysia mula beroperasi, bakal lancar Peugeot 408 pada suku kedua tahun ini

Kereta-kereta yang dipamerkan ketika hari pelabur di kilang Stellantis Malaysia di Gurun, Kedah termasuk Peugeot 408 (dua dari kiri).
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Mac - Syarikat jualan nasional (NSC) Stellantis Malaysia telah mula beroperasi secara rasmi pada 1 Mac 2024 dan pengguna kenderaan Peugeot, DS dan Citroën kini perlu menghubunginya secara langsung bagi mendapatkan khidmat sokongan.

 

Pengarah Urusan Stellantis Malaysia, Jamie Francis Morais berkata, pembukaan NSC adalah permulaan yang menarik dan babak perniagaan baharu syarikat itu di Malaysia.

 

“Keutamaan kami adalah serampang empat mata - mempercepatkan pertumbuhan pasaran, mengembangkan portfolio produk, mewujudkan peluang pengedar baharu di seluruh negara, dan seterusnya menyediakan pengalaman pelanggan yang lebih baik. 

 

“Ini termasuk meluaskan rangkaian pengedar kami di seluruh negara dan membina kehadiran yang lebih kukuh di Malaysia Timur,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

 

 

Jamie Francis Morais
Jamie Francis Morais

 

 

Stellantis Malaysia mendedahkan bahawa ketika ia mengadakan hari pelabur di kilangnya di Gurun, Kedah, ia telah mempamerkan kenderaan yang dirancang untuk dipasarkan di Malaysia.

 

Ini termasuk Peugeot 408 serba baharu yang bakal dilancarkan pada suku kedua tahun ini dan Peugeot Landtrek yang akan dipasang secara tempatan.

 

Kereta daripada jenama lain di bawah portfolio Stellantis turut dipamerkan pada acara itu seperti Citroën C3 Aircross, Alfa Romeo Tonale MHEV dan Jeep Wrangler.

 

 

Peugeot 408 [Foto laman web Stellantis]
Peugeot 408 [Foto laman web Stellantis]

 

 

Hab pembuatan keretanya di Gurun, Kedah, yang disasarkan untuk menghasilkan kereta di Malaysia dan pasaran eksport di rantau ASEAN, juga membuka jalan kepada kereta keluaran tempatan dari jenama Jeep dan Citroën.

 

Susulan pembukaan NSC, pusat panggilan sehenti menawarkan perkhidmatan sokongan pelanggan bagi ketiga-tiga jenama tersebut, termasuk pertanyaan umum berkaitan jualan dan selepas jualan, menangani maklum balas dan aduan, serta menyediakan bantuan tepi jalan 24/7 untuk kes kemalangan dan kerosakan.

 

Pelanggan boleh menghubungi 1800-18-STLA (7852) (nombor Bebas Tol) atau e-mel customersupport.my@stellantis.com. 

 

Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd sebelum ini telah mengumumkan hak pengedaran Peugeot yang diperolehnya selama tiga tahun dikembalikan kepada Stellantis N.V., yang berhasrat menguruskan jenamanya sendiri di Malaysia. Bermaz Auto menamatkan operasi Peugeot pada 29 Februari 2024.

 

Stellantis berkata, langkah strategik ini menandakan strategi perniagaan baharu, yang merupakan sebahagian daripada cita-cita pertumbuhan Stellantis di rantau ASEAN, sejajar dengan rancangan elektrifikasi dan strategi Global Dare Forward 2030 syarikat itu. - DagangNews.com