Stesen Penyelidikan Lapangan MPB bertujuan tingkat aktiviti ujian secara sistematik terhadap lada | DagangNews Skip to main content

Stesen Penyelidikan Lapangan MPB bertujuan tingkat aktiviti ujian secara sistematik terhadap lada

KUALA LUMPUR 14 Feb - Penubuhan stesen Penyelidikan Lapangan Lembaga Lada Malaysia (MPB) di Semenggok, Kuching adalah bertujuan membangunkan infrastruktur dan kemudahan perladangan bagi meningkatkan aktiviti ujian lapangan secara sistematik bagi tanaman lada.

 

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin berkata, stesen penyelidikan itu juga adalah untuk membangunkan plot-plot ujian ladang bagi melihat keberkesanan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) selain menyelenggara koleksi germplasma lada di Malaysia.

 

Beliau berkata, penubuhan stesen penyelidikan lapangan ini adalah selari dengan hala tuju MPB dan industri lada untuk memperkasakan aktiviti R&D melalui kemudahan penyelidikan yang moden dan canggih. 

 

Katanya, stesen penyelidikan itu juga membolehkan MPB menjalankan kajian berkaitan lada secara sistematik dan pengumpulan germplasma serta jenis lada bagi penghasilan variasi baharu.

 

"Dua plot ujian ladang iaitu Plot Koleksi Germplasma Lada sebagai sumber bahan kajian untuk penyelidikan dan penyelenggaraan sumber genetik lada di Malaysia serta Plot Ujian Ladang untuk menguji keberkesanan hasil R&D turut dibangunkan. 

 

"Plot-plot tersebut akan membantu aktiviti pemantauan dan mengurangkan ralat yang boleh mengganggu kesahihan data saintifik sekaligus meningkatkan pendedahan hasil R&D dan inovasi lada kepada orang awam.

 

KPPK
Datuk Willie Mongin

 

"Melalui penubuhan stesen seumpama ini, pemerkasaan R&D lada dan inovasi baharu bagi komoditi lada ke arah pembangunan industri mampan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Antara kemudahan yang dibina di stesen ini merangkumi empat rumah hijau berkeluasan 168 meter persegi setiap unit dan ia digunakan digunakan untuk kajian penyakit dan perosak, kultur tisu, pembiakbakaan dan agronomi lada. 

 

Sebuah bangsal tumbuhan berkeluasan 150 meter persegi  akan digunakan untuk menyelenggara koleksi germplasma lada selain kemudahan lain seperti sistem perparitan, sistem saliran air dan kumbahan, jalan serta kelengkapan ICT turut dibina. 

 

Pembinaan stesen dengan kos keseluruhan sebanyak RM2.83 juta ini telah siap sepenuhnya secara fizikal dan dijangka akan diserahkan kepada Lembaga Lada Malaysia pada bulan Mac 2022. - DagangNews.com