StoreHub bantu peniaga mengautomasikan jualan, tingkatkan kesetiaan pelanggan | DagangNews Skip to main content

StoreHub bantu peniaga mengautomasikan jualan, tingkatkan kesetiaan pelanggan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Feb - Syarikat permulaan teknologi tempatan, StoreHub memperkenalkan alat automasi, StoreHub Engage, bagi membantu peruncit dan restoran berinteraksi dengan pelanggan, memacu jualan berulang serta membina kesetiaan pelanggan dengan mengautomasikan kempen SMS yang diperibadikan.

 

Terdapat lebih dari 300 perniagaan yang menggunakan StoreHub Engage, menyaksikan banyak restoran dan peruncit mendapat pulangan pelaburan purata sehingga 18 kali ganda melalui lonjakan pelanggan berulang serta pelanggan baharu yang dibawa masuk oleh penarafan Google yang dipertingkatkan.

 

Diintegrasikan sepenuhnya ke dalam platform titik jualan (POS) StoreHub, ciri ini membolehkan perniagaan yang sudah menggunakan ekosistem StoreHub untuk mengautomasikan sebanyak empat kempen SMS diperibadikan kepada pelanggan sedia ada dalam pangkalan data mereka.

 

Ini termasuk menghantar peringatan pulangan tunai dan kod baucar hari jadi, bertujuan bagi memastikan pelanggan sedia ada untuk kembali berbelanja dengan perniagaan tersebut. 

 

Ketua dan Pengasas Bersama StoreHub, Wai Hong Fong berkata, perniagaan yang dijalankan secara tradisional kebiasaannya kekurangan akses kepada kepakaran dan pengetahuan yang diperlukan untuk menghubungi pelanggan mereka. 

 

"Jadi, kami membina Engage untuk membantu mereka mengautomasikan isu tersebut. Bayangkan hari ini adalah hari lahir pelanggan anda, sistem Engage akan menghantar SMS yang diperibadikan secara automatik kepada mereka dengan kod baucar unik. 

 

"Pemilik perniagaan tidak lagi perlu menjalankan program kesetiaan pelanggan yang mahal dan memakan masa, kerana mereka kini boleh mengautomasikannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

storehub

 

 

Pemilik bisnes yang sudah mengguna ekosistem StoreHub boleh mengautomasikan sebanyak empat kempen SMS yang boleh disesuaikan dan disasarkan kepada pelanggan dalam pangkalan data mereka, termasuk Peringatan Pulangan Tunai, Promosi Hari Lahir, Dapatkan Kembali Pelanggan yang Hilang serta Meningkatkan Ulasan Google. 

 

 

storehub
                                                 Wai Hong Fong

 

 

StoreHub Engage ialah ciri terbaharu yang disepadukan ke dalam platform StoreHub, sebuah ekosistem dengan lebih 30 ciri yang dibina untuk perusahaan F&B dan peruncitan tempatan beroperasi dengan lebih cekap dan berkembang. 

 

Platform ini bermula sebagai POS berasaskan awan kemudiannya berevolusi menjadi suit lengkap penyelesaian termasuk penjejakan inventori, pengurusan kakitangan, pesanan dan pembayaran automatik, pelaporan dan analisis masa nyata dan banyak lagi. - DagangNews.com