Straits Energy meterai MoU tanam 100,000 pokok gelam di Taman Negeri Setiu Wetlands | DagangNews Skip to main content

Straits Energy meterai MoU tanam 100,000 pokok gelam di Taman Negeri Setiu Wetlands

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Dis - Straits Energy Resources Berhad, menerusi anak syariaktnya, Benua Hijau Sdn Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN) dan Pejabat Tanah Setiu bagi projek penghutanan semula berskala besar di Taman Negeri Setiu Wetlands.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, syarikat itu berkata sebagai sebahagian daripada projek penghutanan semula ini, Benua Hijau merancang untuk menanam 100,000 pokok gelam merentasi kawasan seluas 80.9 hektar dalam tempoh lima tahun.

 

Aktiviti penghutanan semula itu akan tertumpu kepada kawasan yang ditetapkan di sekitar Tasik Berombak dalam Tanah Lembap Setiu. Tasik Berombak adalah salah satu tasik air tawar terbesar dan ekosistem gelam di rantau Pantai Timur Malaysia.

 

Benua Hijau akan menyelaraskan aktiviti di seluruh kawasan yang ditetapkan ini, termasuk penanaman fizikal pokok dan aktiviti penglibatan masyarakat. 

 

Ia juga akan melabur dalam penubuhan pusat semaian dan penyelidikan khusus untuk menyediakan anak pokok gelam, serta mengkaji ekosistem dan rantaian nilai pokok tersebut.

 

Pengarah Urusan Straits Energy, Datuk Seri Ron Ho Kam Choy berkata Yayasan Diraja Sultan Mizan telah membuka pintu untuk kerjasama alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan MPTN ini.

 

"Inisiatif ESG ini melibatkan mengambil tindakan penting di lapangan, yang akan memberikan kami tahap penglibatan dan keterlihatan yang tinggi dan membantu kami memastikan impak positif yang boleh diukur. 

 

"Selaras dengan ini, Benua Hijau akan terlibat dalam kerja tanah fizikal di Setiu Wetlands, membolehkan sumber MPTN digunakan ke kawasan penting lain," katanya dalam kenyataan tersebut.

 

Ron berkata syarikat itu melihat projek ini sebagai langkah kritikal ke arah bukan sahaja memulihkan keindahan semula jadi Setiu Wetlands, tetapi juga menyumbang kepada perjuangan global menentang perubahan iklim. 

 

Menurut beliau, penghutanan semula Tasik Berombak akan membuka peluang ekonomi yang berharga, melalui pengeluaran sumber hutan mampan, ekopelancongan, dan industri kotej tempatan. 

 

"Ini seterusnya akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan serta masyarakat sekeliling," tambahnya. - DagangNews.com