Straits Energy peroleh subkontrak RM71.56 juta bagi projek JKR di UniMAP | DagangNews Skip to main content

Straits Energy peroleh subkontrak RM71.56 juta bagi projek JKR di UniMAP

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Okt - Straits Energy Resources Berhad telah memperoleh kontrak bernilai RM71.56 juta untuk menjalankan kerja bagi sebahagian daripada projek oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR).

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Straits Energy berkata anak syarikatnya, Straits CommNet Solutions Sdn Bhd (SCS) menerima surat anugerah (LOA) daripada Teras Khidmat Niaga Sdn Bhd (Teras) yang merupakan kontraktor utama projek JKR tersebut.

 

Syarikat tersenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia itu berkata projek terbabit dijangka bermula pada 17 Oktober 2023 dan disasarkan siap pada 4 September 2025.

 

“Di bawah kontrak ini, SCS akan membekalkan sumber, peralatan, pengangkutan, mesin dan alatan untuk melaksanakan kerja-kerja tertentu bagi menyiapkan projek di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

 

“Teras merupakan kontraktor utama projek itu yang melibatkan pembinaan pusat kejuruteraan dan makmal serta akan menyumbang kepada pembangunan Universiti Malaysia Perlis,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

SCS adalah anak syarikat 70% milik Straits Technology Solutions Sdn Bhd, manakala Straits Technology Solutions Sdn Bhd ialah anak syarikat 75% milik Straits.

 

Pada pukul 2:16 petang ini, saham Straits Energy telah menokok 0.5 sen atau 4.2% kepada 12.5 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM117.8 juta. - DagangNews.com