Struktur yuran baharu Grab diselar, gaji `rider' dikurangkan - kerajaan digesa segera tubuhkan pengawal selia ekonomi gig | DagangNews Skip to main content

Struktur yuran baharu Grab diselar, gaji `rider' dikurangkan - kerajaan digesa segera tubuhkan pengawal selia ekonomi gig

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 18 Jan - Sebuah persatuan dikenali sebagai Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) menggesa kerajaan menyegerakan penubuhan badan kawal selia ekonomi gig bagi melindungi kebajikan pengusaha ekonomi gig khususnya pengusaha p-hailing.

 

PPRPM turut menggesa kerajaan melaksanakan langkah jangka pendek bagi menangani masalah berterusan yang melanda pemandu p-hailing, terutamanya pengurangan gaji.

 

"Kami menggesa kerajaan mengambil tindakan dan campur tangan dalam isu p-hailing.

 

"Hanya kerajaan yang boleh menggubal dan mengeluarkan dasar atau garis panduan untuk keseluruhan ekosistem ekonomi gig," kata kenyataan PPRPM di sini hari ini.

 

Persatuan itu juga menyeru perkhidmatan p-hailing GrabFood Malaysia untuk segera kembali kepada kadar gaji asal untuk pemandu dan menggantikan kadar baharu yang dikurangkan secara drastik.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Resah komisen tinggi dikenakan syarikat aplikasi penghantaran, persatuan usahawan rayu rakyat Malaysia kembali beli makanan terus di restoran | DagangNews

 

Menurut PPRPM, langkah drastik GrabFood menurunkan kadar gaji tanpa merujuk pemandu terlebih dahulu adalah tidak menghormati perbincangan yang diadakan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu.

 

"Isu itu dibangkitkan terus kepada perdana menteri pada sidang Temu Anwar di Petaling Jaya. Terdapat juga perbincangan dengan menteri pengangkutan, menteri komunikasi dan menteri sumber manusia di Pejabat Perdana Menteri.

 

"Ketika itu, semua syarikat penyelia termasuk GrabFood bersetuju untuk mengkaji semula kadar gaji pemandu mereka.

 

"Namun, agak mengecewakan masalah ini berterusan dan kadar gaji semasa sangat rendah. Ini ditambah lagi dengan kaedah pengiraan yang tidak jelas. kadar gaji," kata persatuan itu.- DagangNews.com