HANYA beberapa hari sahaja lagi negara bakal menyambut hari Kemerdekaan yang ke-66 iaitu pada tanggal 31 Ogos 2023.
Pastinya rakyat Malaysia tidak sabar dan enggan melepaskan peluang untuk menyertai sambutan kemerdekaan lebih-lebih lagi apabila sambutan kemerdekaan disambut dengan meriah sekali di ibu negara pada tahun lalu.
Tema sambutan “ Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” dipilih sebagai tema bagi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 membawa maksud semangat perpaduan dan patriotisme yang tinggi, serta membenihkan rasa cinta yang mendalam kepada negara.
Walaubagaimanapun, muncul segelintir pihak yang ingin menggunakan logo yang berbeza dan sengaja ingin memporak-perandakan perpaduan dan kesejahteraan negara.
Ini susulan terbit cadangan daripada parti Perikatan Nasional yang mahu empat negeri dibawah pentadbirannya iaitu negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan oleh Pemuda parti Perikatan Nasional pada 19 Ogos yang lalu iaitu “ Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera”.
Tindakan ini dipertikai banyak pihak, termasuklah Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang kerana beliau menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan adalah satu perayaan yang bersifat nasional.
Beliau juga turut menegaskan bahawa logo dan tema yang ditetapkan akan menjadi lambang kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia. Perkara seperti ini tidak wajar dilakukan kerana kemerdekaan negara tidak boleh disamakan dengan matlamat berpolitik.
Tambahan pula, semua pihak diseru untuk menekankan aspek untuk mengeratkan lagi hubungan sesama rakyat tidak kira bangsa, umur, warna kulit dan agenda politik masing-masing.
Dalam soal ini juga, tidak wajar untuk segelintir pihak menggunakan logo dan tema yang berbeza kerana sambutan kemerdekaan ini mengenai negara dan bukannya kemerdekaan parti semata-mata.
Dalam aspek ini juga kita bercakap dalam skop kenegaraan. Sekiranya ada segelintir pihak tidak menyukai kerajaan persekutuan tidak mengapa tetapi sekiranya ada pihak yang tidak menyukai negara perasaan tersebut harus dibuang serta-merta kerana ia bersifat menyeluruh.
Pihak berkenaan perlu bijak membezakan antara kebencian politik dengan semangat kenegaraan kerana elemen tersebut merupakan elemen yang sangat penting.
Pihak berkenaan juga perlu cakna jangan disebabkan kemenangan besar mereka dalam Pilihan Raya Negeri baru-baru ini perkara berkenaan adalah bersifat selama-lamanya. Jika tidak boleh membezakan perkara tersebut maka lenyaplah sifat cinta akan negara di dalam diri masing-masing.
Rakyat pada ketika ini perlu ditanamkan semangat perpaduan dalam diri masing-masing agar dapat bersatu untuk bangkit bersama dan membina negara.
Umum mengetahuinya, hal ini merupakan salah satu elemen penting bagi mengukuhkan kekuatan dalam mana-mana kerajaan dan kita juga tidak patut menyentuh isu-isu sensitif seperti isu politik apabila menyentuh berkenaan sambutan kemerdekaan.
Kita memahami ada unsur kekecewaan yang dilemparkan oleh golongan “atas pagar” ini yang hanya melihat isu logo ini hanya berbentuk politik sempit yang dimainkan oleh kedua-dua belah pihak.
Namun, kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara adalah lebih baik untuk kita menyemai semangat kemerdekaan dengan menunjukkan diri kita ini rasa cinta terhadap negara dengan cara kita sebagai rakyat bersama-sama bekerjasama dalam usaha membangunkan negara kita yang tercinta ini.
Perlu diingatkan juga bahawa negara kita ini unik dengan kepelbagaian budaya, bangsa dan bahasa semenjak sebelum merdeka lagi.
Jadi, mengapa kita harus berpecah-belah dek kerana fahaman dan konsep politik yang tidak sehaluan sedangkan kita kaya dengan kepelbagaian.
Jika dilihat semula dengan tema yang dipilih, ia cukup membawa maksud yang mendalam dan bermakna untuk dihayati oleh segenap lapisan masyarakat kerana bertepatan dengan landskap sosiopolitik negara serta mengajak rakyat mengukuhkan semangat perpaduan dalam menghadapi pelbagai cabaran termasuk ketidakstabilan ekonomi global.
Sudah terang lagi bersuluh bahawa mesej tema ini melambangkan betapa pentingnya perpaduan dalam memacu pembangunan ekonomi negara serta mengangkat martabat rakyat ke tahap yang lebih tinggi kerana penting bagi negara rencam (bercampur-campur) seperti Malaysia ini untuk bersatu.
Kerencaman merupakan salah satu aset penting bagi negara. Sekiranya satu akomodasi dapat dilakukan, penyatuan warga yang rencam akan membawa banyak manfaat dalam sektor ekonomi dan sosial. Umum mengetahui kemajuan ekonomi boleh wujud sekiranya kestabilan wujud.
Oleh hal yang demikian, kestabilan hanya wujud sekiranya rakyat bersatu dan saling bantu-membantu. Tetapi, sekiranya rakyat tidak bersatu padu dan bermusuhan maka hancurlah sesebuah negara tersebut walau berabad lamanya telah mencapai deklarasi kemerdekaan.
Tambahan pula, pemilihan tema “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” jelas menunjukkan ketegasan kerajaan dalam meningkatkan perpaduan dengan cara menitikberatkan sikap saling memahami dan bertoleransi antara kaum selain memperbaiki kelemahan yang wujud dalam kalangan masyarakat.
Justeru, dalam konteks kepelbagaian dan keunikan Malaysia yang mempunyai rakyat yang berbilang bangsa, agama dan budaya kita seharusnya mengutamakan Perlembagaan dan Rukun Negara untuk dijadikan pegangan tidak jua dalam apa keadaan sekalipun agar negara kekal aman.
Umum mengetahui, perpaduan yang utuh merupakan aspek yang amat penting dalam usaha untuk menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan disegani di persada antarabangsa. Asbab daripada hal ini , negara mampu menarik pelabur-pelabur asing.
Hal ini kerana, pelabur-pelabur ini memerhati dari sudut politik khususnya dari aspek kestabilan dan tadbir urus negara. Malah idealisme yang terdapat dalam tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 juga amat penting bagi membina identiti dan bangsa seperti yang diidamkan semenjak negara mencapai kemerdekaan lagi.
Dalam pada masa yang sama juga, agenda perpaduan nasional masih lagi diusahakan secara gigih oleh kerajaan sejak merdeka iaitu pada tahun 1957 dan pembentukan Malaysia pada tahun 1963.
Namun, usaha ini telah dicabar dengan landskap politik yang pelbagai saban tahun dan sifat sosial yang dinamik khususnya dalam menguruskan kepelbagaian etnik di Malaysia.
Menerusi tema tahun ini juga, jelas menunjukkan kesungguhan pihak kerajaan dalam menekankan nilai saling hormat-menghormati dan kepentingan mementingkan keadilan dalam usaha membangunkan sendiri Malaysia MADANI.
Namun, usaha yang proaktif ini kadang-kala terganggu dek kerana terdapat golongan yang sengaja menimbulkan isu agama, bangsa dan negara serta institusi diraja (3R) bagi meraih pembatuan politik.
Penulis berpendapat golongan-golongan seperti ini perlu merujuk dan membaca semula Dasar Perpaduan Negara, Dasar Kebudayaan Negara serta Dasar Keselamatan Negara agar dapat menyemai hubungan sesama manusia dan budaya dengan damai sekaligus membentuk persefahaman yang baik dalam kehidupan bermasyarakat.
Jadi, pada sambutan hari kemerdekaan pada tahun ini tidak usahlah mewujudkan kontroversi yang terang-terangan berbaur politik.
Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara dan bangsa adalah lebih baik kita menyuburkan lagi semangat patriotik dengan menunjukkan rasa cinta terhadap negara dengan membangunkan negara tercinta ini bersama-sama walaupun berbeza ideologi politik dan meraikan perbezaannya bersama. - DagangNews.com