Sultan Sharafuddin Idris Shah sampaikan ijazah, diploma kepada graduan UPM Bintulu dan Serdang di Konvokesyen ke-47 | DagangNews Skip to main content

Sultan Sharafuddin Idris Shah sampaikan ijazah, diploma kepada graduan UPM Bintulu dan Serdang di Konvokesyen ke-47

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Tuanku Canselor UPM menyampaikan titah ucapan semasa Konvokesyen UPM ke-46. - Gambar fail UPM

KUALA LUMPUR 3 Nov - Seramai 487 graduan bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-47 Sidang 1 di Dewan Sri Kenyalang UPM Kampus Bintulu (UMPKB) Sabtu ini.

 

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Tuanku Canselor UPM berkenan mengurniakan  Ijazah Doktor Falsafah (PhD) kepada sembilan graduan, Ijazah Sarjana (12), Sarjana Muda (84) dan Diploma (382) dalam pelbagai program pengajian.

 

Baginda turut berkenan mengurniakan hadiah kepada pemenang peringkat universiti iaitu Hadiah Live Animals Medical Centre (Graduan Terbaik Sarjana Muda) kepada Nurul Syahmah Matsah daripada program Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia Dengan Pengurusan dan Hadiah Kecemerlangan Yvonne Sing Sai Hoi (Graduan Terbaik Diploma) kepada Tai Yu Tian daripada program Diploma Perikanan.

 

Menurut kenyataan UPM, antara graduan PhD yang akan menerima skrol ialah penyanyi Iban Sarawak, Alexander Peter Chelum yang melakukan penyelidikan mengenai ‘Simbol dan makna ritual Nyangahant dalam budaya masyarakat Salako di Kampung Pueh, Lundu, Sarawak, Malaysia’.

 

Bagi sidang kedua majlis konvokesyen di UPM Serdang, Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah akan mengurniakan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), Sarjana (Master), Bacelor dan Diploma kepada 5,267 graduan pelbagai program pengajian.

 

 

UPM

 

 

Dalam pada itu, turut diadakan  Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM ke-47 bermula hari ini hingga 5 Nov ini dari 8 pagi hingga 11 malam di Tapak Ekspo Dewan Sri Kenyalang, UPMKB.

 

Pelbagai aktiviti dan gerai jualan diadakan termasuk jualan anak pokok seperti pokok durian hutan yang hanya terdapat di Sarawak iaitu Nyekak (Durio kutejansis) dan Isu (Durio oxleyanus).

 

Orang ramai juga berpeluang menyertai aktiviti Putra Bakti @Animal Exhibition (AnimEX 5.0) yang bertujuan menimbulkan kesedaran kepada komuniti tentang kepentingan penjagaan yang betul haiwan peliharaan, reptilia dan haiwan akuatik, di samping pameran ternakan yang terdapat di universiti itu.

 

UPMKB adalah kampus cawangan UPM yang kini mempunyai dua buah fakulti iaitu Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan serta Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains. - DagangNews.com