Sumber NREE baharu ditemui di Ulu Slim, kerajaan Perak tunggu maklumat terperinci daripada Jabatan Mineral dan Geosains | DagangNews Skip to main content

Sumber NREE baharu ditemui di Ulu Slim, kerajaan Perak tunggu maklumat terperinci daripada Jabatan Mineral dan Geosains

Petugas JMG negeri Perak melakukan kajian tanah yang mempunyai sumber NR-REE di Ulu Slim.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 14 Dis - Satu lagi deposit sumber mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) ditemui di Perak hasil kajian yang dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) negeri Perak.

 

Ia susulan penemuan sumber tersebut di tapak seluas 27 ekar di Ulu Slim dekat Mua'llim.

 

Dapatan kajian mendapati purata kandungan NRREE di kawasan seluas 1 kilometer persegi berjulat antara 500ppm hingga ke 1000ppm dengan anggaran hasil sebanyak 23.49 tan metrik/ekar. 

 

Kawasan tersebut juga menarik perhatian delegasi Japan International Cooperation Agency (JICA) apabila melakukan lawatan serta diberi penerangan tentang potensi NR-REE.

 

Taklimat
Pegawai JMG negeri Perak semasa memberi penerangan kepada delegasi JICA.

 

JICA ialah agensi pelaksana bantuan pembangunan rasmi Jepun bagi tujuan menyokong pembangunan sosioekonomi, pemulihan atau kestabilan ekonomi wilayah membangun.

 

Penemuan ini meletakkan daerah Mua'llim berpotensi untuk menjadi kawasan baharu bagi perlombongan NR-REE di Perak.

 

Tambahan pula dengan projek masa hadapan bagi kawasan Pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) Tanjung Malim yang sedang dirancang.

 

Bagaimana pun, sebarang keputusan untuk membangunkan tapak perlombongan bergantung kepada kerajaan negeri setelah menerima pandangan daripada JMG.

 

Taklimat

 

Faktor utama yang diambil kira ialah nilai ekonomi sekirannya hasil bumi tersebut diekstrak untuk dieksport.

 

Perak ketika ini menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang memulakan projek perintis perlombongan NR-REE di Mukim Kenering, Gerik sejak tahun lalu.

 

Projek perlombongan NR-REE pertama di atas tanah ladang milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) melibatkan kawasan seluas 216 ekar.

 

Sehingga kini Perak berjaya memperolehi pendapatan RM21.1 juta menerusi hasil royalti daripada perlombongan tersebut.

 

Potensi besar perlombongan NR-REE sebagai sumber ekonomi baharu negeri menyaksikan kerajaan negeri merancang memperluas kawasan operasi perlombongan.

 

Ini melibatkan keluasan 2,160.6 hektar berbanding kira-kira 87.4 hektar sedia ada

 

Pada November lalu, Perak SADC telah menerima surat kelulusan skim pengendalian melombong (SKSPM) daripada JMG Perak bagi kebenaran memperluaskan kawasan melombong lantenid.

 

Ia sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pelaburan dan pekerjaan dalam industri mineral. - DagangNews.com