Sunsuria terbit sukuk RM66 juta untuk perbelanjaan modal dan kerja | DagangNews Skip to main content

Sunsuria terbit sukuk RM66 juta untuk perbelanjaan modal dan kerja

KUALA LUMPUR 16 Okt - Sunsuria Bhd telah menerbitkan nota jangka sederhana Islam kedua bernilai RM66 juta dalam nilai nominal di bawah Program Sukuk Wakalah dengan tempoh kematangan tiga tahun iaitu menjelang 14 Oktober 2025. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sunsuria berkata hasil daripada terbitan itu akan dipakai bagi membiayai perbelanjaan modal, keperluan modal kerja dan/atau pelaburan serta untuk tujuan korporat patuh Syariah am syarikat serta subsidiarinya.

 

Maybank Investment Bank Bhd adalah penasihat prinsipal tunggal, pengatur utama dan pengurus utama tunggal bagi Program Sukuk Wakalah tersebut.

 

Dalam perkembangan lain, Hong Leong Bank Bhd (HLB) menerbitkan RM400 juta dalam nilai nominal sekuriti modal Tahap 1 Tambahan dengan tempoh kekal lima tahun.

 

 

HLB

 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, katanya hasil itu akan digunakan untuk tujuan memenuhi keperluan modal Tahap 1 Tambahan mengikut Rangka Kerja Kecukupan Modal Bank Negara Malaysia.

 

Selain itu, ia juga bertujuan membiayai semula tranche sekuriti modal sedia ada yang sebelum ini diterbitkan di bawah program Tahap 1 Tambahan HLB pada 2017 dengan nilai nominal RM400 juta.

 

HLB berkata sekuriti modal itu mempunyai kadar pengagihan sebanyak 4.70 peratus setahun, merangkumi kadar penanda aras serta spread kredit 0.47 peratus. Menurutnya tempoh pengagihan selama enam bulan. - DagangNews.com